SUKAN

KBS Tunggu Laporan Pascanilai Prestasi Skuad Piala Thomas, Piala Uber

03/05/2026 11:45 PM

TAIPING, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu laporan penuh pascanilai berhubung prestasi skuad badminton negara pada Final Piala Thomas dan Piala Uber 2026 bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki dengan segera.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata hasil penilaian itu akan dijadikan indikator dan garis panduan utama buat kementerian serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam merangka strategi pembangunan atlet yang lebih berkesan pada masa hadapan.

Dr Mohammed Taufiq berkata meskipun prestasi pasukan negara tidak seperti yang diharapkan, beliau tetap optimis dengan usaha pemain yang bertungkus-lumus pada kejohanan itu.

“Kami akan memastikan pembangunan mereka itu dapat diteruskan dan kami akan sentiasa berbincang dengan BAM untuk memastikan prestasi dapat terus dipertingkatkan. Apa juga kekurangan, langkah itu perlulah dilaksanakan dengan segera. 

“Jadi, kami akan bekerjasama rapat dan juga berbincang dengan BAM berkaitan pembangunan yang berterusan untuk atlet-atlet badminton kita, insya-Allah,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Muay Antarabangsa Malaysia 2026 (MIMAC 3.0) di sini malam ini.

Pada kempen Piala Thomas 2026, Malaysia yang juga naib juara Kumpulan B menamatkan saingan di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada juara bertahan China.

Perjalanan Malaysia dalam Piala Uber 2026 juga berakhir di suku akhir selepas tersingkir kepada juara bertahan China dengan keputusan 0-3.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan