AM

KKDW Jimat RM250 Juta Hasil Pelarasan Perbelanjaan

04/05/2026 02:20 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya menjimatkan sekurang-kurangnya RM250 juta hasil pelarasan perbelanjaan termasuk penyusunan semula program.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hasil penjimatan itu akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) bagi membantu perbelanjaan melibatkan subsidi bahan api kepada rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penjimatan dibuat dengan mengurangkan majlis promosi, pameran produk dan acara atau program yang berimpak rendah.

"Pekeliling telah dikeluarkan oleh MoF bagi setiap kementerian melakukan penjimatan dan KKDW tidak terkecuali dalam langkah ini. 

"Malah, sebelum arahan itu dikeluarkan, kita telah mengemukakan kepada MoF untuk kita mengurangkan program-program yang mempunyai kesan yang agak kurang berbanding dengan keutamaan untuk infrastruktur, bekalan air, elektrik dan amenities (kemudahan) untuk luar bandar," katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulan Mei KKDW, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid semasa berucap beliau mahu warga KKDW menjadikan Ekonomi Desa Nasional sebagai cara berfikir baharu yang memfokuskan untuk meningkatkan pendapatan, peluasan peluang ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar.

"Kita mesti berani merebut potensi baharu yang ada dalam ekosistem desa. Inilah asas kepada gagasan Ekonomi Desa Nasional, satu pendekatan menyeluruh untuk mengangkat desa daripada kawasan sokongan kepada enjin pertumbuhan baharu negara. 

"Desa mempunyai tanah, ladang, komoditi, biojisim, usahawan mikro, belia, wanita, komuniti Orang Asli, koperasi dan jaringan sosial yang kuat. 

"Jika semua ini disusun dalam satu ekosistem yang kemas, desa boleh menjadi sumber pertumbuhan baharu negara," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan