AM

MB Pahang Akan Bertemu Pihak Zoo Taiping Bincang Isu Gajah Dara, Amoi, Kelat

04/05/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan pihak Zoo Taiping & Night Safari dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Jepun.

Beliau berkata pertemuan tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut serta meneliti langkah terbaik untuk membawa pulang mamalia itu susulan kebimbangan dibangkitkan pelbagai pihak terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup DAK di negara empat musim itu.

“Saya bersama pihak Zoo Taiping akan mengadakan satu perbincangan dan pertemuan dalam masa terdekat, malah lebih awal daripada pertemuan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Perak.

“Kita khuatir sesuatu akan berlaku pada gajah tersebut...kita sedang usahakan (untuk bawa balik ke Malaysia) dan kita harap rakyat bersama-sama menyokong usaha ini kerana suara rakyat mampu mempengaruhi sesuatu keputusan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama hari ini.

Sebelum ini, Wan Rosdy menggesa agar ketiga-tiga gajah itu segera dibawa pulang ke tanah air dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh, yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi haiwan tersebut.

Gesaan itu susulan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang menegaskan supaya Dara, Amoi dan Kelat wajar dibawa pulang ke Malaysia dari Jepun sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar dan sensitiviti semasa.  

Pada Jumaat lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata satu pertemuan dengan pihak berkepentingan akan diadakan minggu ini bagi membincangkan secara menyeluruh isu pemindahan tiga ekor gajah itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan