EKONOMI

Setiausaha Syarikat Didenda RM50,000 Langgar AMLA, Kemuka Maklumat Palsu

04/05/2026 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Seorang setiausaha syarikat didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melanggar peruntukan antipengubahan wang haram serta mengemukakan maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat.

Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memaklumkan bahawa siasatan mendapati Ardzlyn Hawatul Yuhanis Uyob@Ayob (Ardzlyn), yang bertindak sebagai setiausaha syarikat melalui firmanya, Continuum Corporate House Sdn Bhd, telah gagal melaporkan dua Laporan Transaksi Mencurigakan kepada BNM seperti yang diwajibkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Menurut BNM, transaksi terbabit melibatkan warga asing yang mempunyai kaitan dengan MB International Sdn Bhd dan Ascent GT Sdn Bhd.

“Secara berasingan, siasatan oleh SSM turut mendapati tertuduh telah mengemukakan maklumat palsu kepada Pendaftar Syarikat berhubung pelantikan seorang warga asing sebagai pengarah bagi syarikat berkenaan, dan sijil amalannya telah ditarik balik,” menurut kenyataan itu.

Pada 10 Dis 2025, Ardzlyn didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 86 AMLA yang dibaca bersama Seksyen 14(1)(b) AMLA serta Perenggan 19 Dokumen Dasar AMLA.

Beliau juga didakwa oleh SSM atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016.

Pada 15 April 2026, Ardzlyn mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM50,000.

BNM menegaskan bahawa kawalan dalaman yang kukuh serta pematuhan sepenuhnya terhadap kewajipan pelaporan di bawah AMLA adalah penting bagi mengelakkan penyalahgunaan sistem kewangan untuk tujuan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan jenayah serius lain.

“Institusi pelapor diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap risiko dieksploitasi oleh penjenayah, sama ada akibat kecuaian atau penglibatan secara sengaja. Kegagalan mematuhi kewajipan ini boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan, termasuk pendakwaan,” menurut bank pusat itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan