DUNIA

AS Perlu Lakukan Misi Ke Iran Untuk Rampas Bahan Nuklear - Trump

06/05/2026 06:39 AM

ISTANBUL, 5 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Selasa, tentera AS perlu menjalankan satu misi ke Iran bagi mendapatkan aset nuklear susulan serangan udara yang menimbus kemudahan pengayaan milik Tehran, lapor Anadolu Ajansi.

“Kini kita akan menerima kesan, kerana kita perlu melakukan perjalanan ke Iran untuk mengambil senjata nuklear,” kata Trump kepada wartawan.

Beliau dipercayai merujuk kepada kira-kira 1,000 paun (453.6 kilogram) uranium diperkaya yang dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan tapak yang disasarkan dalam serangan AS-Israel pada Jun lepas. Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengesahkan yang bahan itu berada “di bawah runtuhan” tanpa rancangan segera untuk mendapatkannya semula.

Trump mendakwa Washington memusnahkan keupayaan nuklear Tehran. “Kami memusnahkan potensi nuklear mereka. Ia telah dihapuskan sepenuhnya,” katanya, sambil menjelaskan yang Iran memerlukan beberapa minggu untuk mendapatkan bahan itu dan AS “tidak akan membenarkan mereka terus menggali” kerana pemantauan ketenteraan berterusan.

Beliau juga mendakwa yang Tehran sedar mereka “tiada peluang,” walaupun kenyataan awam mereka berbeza. “Mereka menyatakannya kepada saya apabila saya bercakap dengan mereka, tetapi di televisyen mereka berkata sebaliknya,” katanya.

“Mereka tidak suka permainan dengan kami. Mereka langsung tidak suka,”kata Trump.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan