AM

Pengiktirafan Di Global Water Summit Bukti Keupayaan Air Selangor Urus Sistem Utiliti

06/05/2026 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pengiktirafan yang diraih Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada Global Water Summit 2025 di Paris, Perancis tahun lepas membuktikan keupayaan syarikat itu dalam menguruskan sistem utiliti yang unggul dan efisien.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali berkata kecekapan operasi terutamanya dalam mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) menjadi antara faktor kepada kejayaan syarikat yang diiktiraf sebagai satu daripada 'Leading Utilities of the World' (pengurus utiliti utama dunia) pada sidang kemuncak itu.

Beliau berkata kadar NRW berjaya diturunkan daripada 33 peratus kepada 26.76 peratus pada tahun lepas, dan menyasarkan pengurangan berterusan sehingga 25 peratus menjelang 2030.

"Apabila kita bercakap tentang utiliti yang unggul, badan antarabangsa akan melihat sama ada Air Selangor berfungsi mengikut objektif yang ditetapkan.

“Bagi kami, pencapaian kualiti air yang mencapai tahap pematuhan 99.96 peratus terhadap piawaian Kementerian Kesihatan (KKM) adalah satu penanda aras yang sangat tinggi bagi industri air negara," katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir yang bertajuk Perkembangan dan Pelan Masa Hadapan Air Selangor terbitan Bernama Radio, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Adam Saffian berkata pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau Fasa Satu yang bertujuan meningkatkan margin rizab air di Selangor sebagai persediaan menghadapi peningkatan permintaan pada masa depan, dijangka siap akhir tahun ini dengan kapasiti 700 juta liter sehari.

Beliau berkata ini akan disusuli pembangunan fasa kedua dengan kapasiti yang sama bagi menampung keperluan air di Selangor.

Sementara itu, katanya, Air Selangor akan terus memperkasa usaha pendigitalan melalui Intelligent Command Centre (ICC), yang membolehkan tindakan segera diambil terhadap aduan gangguan bekalan.

Selain itu LRA Semenyih 2 turut dilengkapi dengan peranti moden bagi memudahkan kakitangan mengawal serta memantau operasi loji secara digital dengan lebih cekap, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan