AM

Sebanyak 30 Peratus Jemaah Haji Pilih Pakej PJH Tahun Ini - TH

06/05/2026 03:20 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 6 Mei (Bernama) -- Sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah haji yang layak mengerjakan ibadah tersebut tahun ini memilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu menerusi pakej syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), berbanding 28.3 peratus musim lepas.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Anuar Ahmad berkata untuk musim haji tahun ini, sebanyak 34 syarikat PJH termasuk TH Travel & Services telah dilesenkan untuk mengendalikan jemaah haji Malaysia.

“Peningkatan itu menunjukkan semakin ramai jemaah memilih pakej nilai tambah yang ditawarkan syarikat swasta, termasuk penginapan lebih hampir dengan Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, bilik dengan jumlah penghuni lebih kecil serta pilihan penerbangan premium,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata pakej yang ditawarkan PJH musim ini, bermula kira-kira RM55,000 dan boleh mencecah lebih RM250,000, bergantung kepada jenis perkhidmatan dan kemudahan yang dipilih jemaah.

Anuar berkata untuk memastikan semua syarikat PJH mematuhi syarat lesen serta melaksanakan perkhidmatan seperti dijanjikan kepada jemaah, TH turut menempatkan pasukan pemantau di Jeddah, Makkah, Madinah dan Masyair.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya hanya berurusan dengan syarikat PJH yang dilesenkan TH dan membuat semakan melalui laman web rasmi, TH Contact Centre atau pejabat TH bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan pakej haji.

Sementara itu, mengulas tentang selebriti yang dibawa syarikat PJH ke Tanah Suci, Anuar berkata mereka hanya dibenarkan bertugas sebagai pengiring atau ikon motivasi sahaja dan bukan pembimbing ibadah.

Beliau berkata ketetapan itu penting bagi memastikan segala penerangan berkaitan rukun, wajib, larangan ihram dan pelaksanaan ibadah hanya disampaikan oleh individu yang benar-benar berkelayakan serta diiktiraf TH.

“Kalau syarikat mahu membawa selebriti, itu terpulang kepada mereka, tetapi untuk bercakap atau membimbing berkaitan urusan haji, hanya mereka yang ditauliahkan oleh Tabung Haji sahaja dibenarkan. 

"Kita ada sistem, kita ada kawalan, dan kita tahu siapa yang ada tauliah,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Anuar berkata setiap syarikat PJH juga diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya seorang pembimbing ibadah yang memiliki tauliah TH bagi memastikan jemaah mendapat panduan yang tepat sepanjang berada di Tanah Suci.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan