MELAKA, 6 Mei (Bernama) -- Inisiatif Kerajaan Negeri Melaka memberikan pengecualian sewa selama sebulan bermula 1 Julai ini kepada peniaga yang menyewa premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu membantu meringankan beban kewangan mereka.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin berkata pelaksanaan inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM2.6 juta kepada kerajaan negeri.
“Semua premis di bawah PBT termasuk Medan Samudera yang menempatkan hampir 100 peniaga akan menikmati inisiatif tersebut, yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka melalui pengurangan kos sewaan dan operasi di samping memastikan kelangsungan perniagaan terutama industri kecil dan sederhana," katanya pada sidang media selepas menyantuni peniaga di Medan Samudera, Banda Hilir hari ini.
Beliau berkata bagi premis milik agensi kerajaan negeri dan anak syarikat, pelaksanaannya bergantung kepada kemampuan kewangan masing-masing termasuk pemberian diskaun sehingga 30 peratus seperti yang ditawarkan oleh Perbadanan Melaka.
Rais berkata bagi bulan berikutnya, kerajaan negeri akan membuat pertimbangan mengikut kesesuaian keadaan namun memberi jaminan untuk sentiasa cakna dengan nasib peniaga.
Beliau berkata PBT turut menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja sebagai antara usaha untuk meningkatkan aliran tunai dalam kalangan peniaga dan menggalakkan pertumbuhan sektor perdagangan di Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial