KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Perjanjian damai yang berpotensi di antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran boleh mencetuskan reaksi segera dalam pasaran niaga hadapan minyak, namun sebarang pemulihan ketara dalam aliran bekalan minyak fizikal dijangka mengambil masa beberapa minggu, jelas Rystad Energy.
Menurut syarikat penyelidikan tenaga itu, laporan mengenai kemungkinan perjanjian dimuktamadkan di antara AS dengan Iran semakin meyakinkan dengan Kementerian Luar Pakistan menjangkakan penyelesaian itu dapat dibuat dalam masa terdekat.
Washington pula menantikan maklum balas daripada Iran dalam tempoh 48 jam, jelas kenyataan syarikat berkenaan.
Ketua Penganalisis Minyak Rystad Energy Paola Rodriguez-Masiu berkata, spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya perjanjian tersebut telah pun mendorong harga minyak untuk menjadi lebih rendah.
"Pengumuman mengenai perjanjian tersebut akan menggerakkan pasaran niaga hadapan dengan segera. Malah, potensi perjanjian itu sendiri sudah pun mencetuskan penurunan harga minyak," katanya dalam satu kemas kini pasaran.
Bagaimanapun, beliau berkata pasaran minyak fizikal beroperasi dalam jangka masa yang lebih perlahan.
Rodriguez-Masiu berkata walaupun dalam senario optimistik yang melibatkan pembukaan semula berperingkat Selat Hormuz selama 30 hari, pemulihan ketara dalam jumlah minyak hanya menjadi kenyataan seawal Jun.
Beliau berkata ketibaan di pelabuhan pemprosesan mungkin mengalami kelewatan selama empat hingga enam minggu selepas tempoh tersebut.
"Pasaran insurans transit perlu menilai semula harga, pengendali kapal memerlukan akses yang disahkan dan berterusan selain keyakinan komersial tidak boleh dibina semula dalam sekelip mata.
"Kelewatan selama enam hingga lapan minggu antara syarat akses yang boleh dipercayai dan normalisasi aliran sebenar bukanlah anggaran konservatif, ia merupakan ciri struktur bagaimana pasaran perkapalan berfungsi," katanya.
Laluan melalui Selat Hormuz merupakan laluan air sempit yang strategik iaitu 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melalui kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial