POLITIK

Institusi Raja Penting Pastikan Pentadbiran Negeri Berintegriti - UMNO Selangor

07/05/2026 01:35 PM

SHAH ALAM, 7 Mei (Bernama) -- UMNO Selangor menyokong penuh, menjunjung kasih serta menyambut baik kenyataan rasmi Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor semalam berhubung peranan dan tanggungjawab Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.

“Kenyataan tersebut amat penting dalam memperjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat, teguran dan peringatan Sultan Selangor selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta peranan Baginda sebagai Ketua Negeri yang mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menghormati kedudukan serta peranan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tanpa mempolitikkan titah dan pandangan baginda.

Beliau berkata institusi Raja Melayu merupakan payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang perlu dipelihara dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Ia memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan secara bertanggungjawab, berintegriti dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Megat Zulkarnain berkata UMNO Selangor kekal konsisten dalam mempertahankan institusi Kesultanan Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi mahupun cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor.

“Sebelum ini, UMNO Selangor turut konsisten tampil mempertahankan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di Selangor yang cuba diputarbelitkan oleh pihak tertentu, selain mengecam tindakan biadab menyunting dan menghina imej Sultan Selangor yang jelas melampaui batas adab, budaya serta prinsip menghormati institusi Raja.

“Dalam suasana politik yang semakin mencabar hari ini, UMNO Selangor menyeru semua pihak agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai bahan polemik politik sempit,” katanya.

Beliau berkata keutamaan semua pihak ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan isu rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan secara berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Semalam Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menegaskan bahawa Sultan Selangor sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat bersesuaian dengan peranan baginda sebagai Ketua Negeri.

Mereka berkata sebarang nasihat, teguran dan peringatan oleh Sultan Selangor merupakan nasihat dan teguran penting dari seorang Raja bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan