AM

Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 Berpaksikan 4 Tumpuan Utama - Ahmad Zahid

07/05/2026 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) – Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (DSN) 2026-2030 yang mengandungi 102 inisiatif berpaksikan empat tumpuan utama iaitu pencegahan, pemerkasaan, promosi dan perlindungan bagi memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelan tindakan itu menjadi gerak kerja yang lebih tersusun bagi memaknai DSN 2030 yang telah dilancarkan sebelum ini.

“DSN 2030 tempohari telah memberi kita arah. Hari ini, Pelan Tindakan (baharu) ini akan memberi kita gerakan yang lebih tersusun untuk memaknai asas dasar tersebut,” katanya pada majlis pelancaran pelan tindakan itu, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahmad Zahid berkata pelan tindakan itu perlu menjadi jambatan antara dasar yang dirangka kerajaan dengan realiti kehidupan rakyat supaya bantuan dan intervensi yang dilaksanakan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

“Ia (pelan tindakan itu) memastikan bantuan tidak bertindih, maklumat tidak terputus, kumpulan rentan tidak tercicir dan setiap intervensi benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata cabaran sosial masa kini semakin kompleks apabila tekanan sosial bertembung dengan tekanan ekonomi selain kemajuan digital yang turut membawa risiko baharu seperti penipuan dalam talian, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan berbahaya.

Katanya, pelaksanaan pelan tindakan itu juga perlu memberi penekanan kepada tiga anjakan utama iaitu daripada bantuan kepada keberdayaan, daripada silo kepada satu ekosistem dan daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan.

“Bantuan tetap penting, khususnya kepada mereka yang memerlukan, tetapi matlamat akhir dasar sosial bukan untuk mengekalkan rakyat sebagai penerima bantuan sahaja. 

“Matlamat kita ialah mengangkat mereka supaya mereka mampu berdiri, bekerja, berniaga, menyumbang dan membina masa depan keluarga sendiri,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata pendekatan kerjasama pelbagai pihak juga perlu diperkukuh melibatkan kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan komuniti kerana masalah sosial tidak boleh diselesaikan secara berasingan.

Beliau berkata setiap inisiatif di bawah pelan tindakan itu akan mempunyai pemilik tanggungjawab yang jelas, petunjuk prestasi utama (PPU) yang boleh diukur, garis masa pelaksanaan dan pemantauan berkala menerusi Majlis Sosial Negara.

“Jangan tunggu keluarga runtuh baru kita masuk. Jangan tunggu anak tercicir baru kita bertindak. Jangan tunggu warga emas terabai baru kita simpati. Jangan tunggu belia hilang arah baru kita mencari jalan. Dasar sosial yang baik mesti hadir lebih awal,” katanya.

DSN 2030 yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ialah rangka kerja komprehensif untuk membentuk masyarakat Malaysia yang inklusif, progresif, dan berdaya tahan. 

Dasar berkenaan bertujuan meningkatkan kebajikan rakyat, menangani cabaran sosial, dan menjamin hak serta kesejahteraan hidup setiap individu, selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan