AM

Isu Pembekalan NSM Dimaklum Kepada Jemaah Menteri Untuk Penelitian Lanjut - Adly

07/05/2026 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Isu berkaitan pembekalan misil antikapal dan serangan darat (NSM) oleh sebuah syarikat dari Norway telah dimaklumkan kepada jemaah menteri untuk penelitian lanjut, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata Malaysia akan mengambil langkah diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk mencari jalan penyelesaian berhubung perkara berkenaan.

Adly berkata pendekatan itu diambil memandangkan misil berkenaan merupakan komponen penting dalam keperluan aset strategik negara yang dirancang digunakan oleh kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan 2026, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian Kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak berkenaan dan akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan serta membincangkan langkah sewajarnya berkaitan isu itu.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) mempunyai kontrak perolehan dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), dari Norway, bagi pembekalan NSM untuk melengkapkan keupayaan kapal LCS TLDM.

Sementara itu, Adly menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga MINDEF atas komitmen dan semangat kerja berpasukan yang membawa kepada kejayaan penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 pada 20 hingga 23 April lepas.  

Beliau berkata kejayaan acara berprestij itu bukan sahaja mencerminkan keupayaan profesionalisme warga kementerian itu, malah mengangkat imej Malaysia sebagai negara berwibawa dalam sektor pertahanan dan keselamatan global.

Terdahulu, 404 individu menerima APC dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PTT) pada majlis bertemakan 'Malaysia MADANI: Ihsan Dalam Perkhidmatan' itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan