AM

PM Anwar Hadir Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Di Cebu

07/05/2026 05:48 PM

Daripada Niam Seet Wei

CEBU (Filipina), 7 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak BIMP-EAGA di sini hari ini, dengan perbincangan tertumpu kepada pembangunan subwilayah.

BIMP-EAGA, yang merujuk kepada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina, ditubuhkan pada tahun 1994 dengan matlamat mempercepat pertumbuhan ekonomi inklusif, pembangunan dan kemakmuran di kawasan kurang membangun dalam negara anggotanya.

Anwar tiba di sini pada 1.50 tengah hari bagi lawatan dua hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan.

Sidang kemuncak itu akan turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bersama-sama Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr selaku Pengerusi ASEAN tahun ini berkata perbincangan pada sidang kemuncak tersebut, menampilkan program dan projek utama yang kini memberi impak besar kepada komuniti tempatan menerusi penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan hubungan jaringan serta peluasan peluang, khususnya di kawasan pertumbuhan subwilayah.

“Kejayaan ini mengingatkan kita bahawa kerjasama serantau memberikan nilai paling besar, apabila ia mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan.

“Biarlah sidang kemuncak ini memperbaharu tekad kita untuk menterjemahkan visi kepada tindakan dan perancangan kepada impak berkekalan. Secara bersama-sama, marilah kita terus membina BIMP-EAGA yang lebih terhubung, berdaya tahan dan makmur demi generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Mengenai Wawasan BIMP-EAGA 2035, Marcos berkata ia bukan sekadar pelan hala tuju bagi integrasi ekonomi, tetapi satu janji untuk memastikan pembangunan yang bermakna, mampan dan dapat dirasai dalam kehidupan harian rakyat di rantau itu.

Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 1 Jan 2026.

Bertemakan Navigating Our Future, Together, republik itu sepanjang tempoh kepengerusiannya berusaha memacu keutamaan ASEAN menerusi tiga teras utama iaitu Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran serta Pemerkasaan Rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan