AM

Mesyuarat MEXCO-STI Perkukuh Kerjasama Persekutuan-negeri, Sebar Luas Teknologi

07/05/2026 07:04 PM

GEORGE TOWN, 7 Mei (Bernama) --  Kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI), terus diperkasakan melalui Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI), di sini hari ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan memaklumkan, MEXCO-STI telah mempertimbangkan dan mengambil maklum akan beberapa perkara utama penyebarluasan teknologi yang dibangunkan MIMOS Berhad, pada peringkat negeri.

Mesyuarat berkenaan juga mengambil maklum mengenai penglibatan syarikat pemula di negeri, melalui pelaksanaan Tetingkap Tunggal MyStartup oleh Cradle serta peranan Jabatan Atom Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia di negeri.

“Selain itu, program kerjasama antara Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dengan beberapa negeri, dalam pengaplikasian teknologi dan maklumat berkaitan pembudayaan sains yang akan dilaksanakan MOSTI sepanjang tahun ini di negeri, turut dikongsikan.

“Mesyuarat MEXCO-STI menjadi platform penting untuk berbincang dan berkongsi hala tuju serta perkembangan STI melalui kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” menurut kenyataan MOSTi itu.

Sementara itu, Menterinya Datuk Chang Lih Kang berkata Malaysia perlu terus memperkukuh kedaulatan teknologi serta membangunkan bakat dan kapasiti inovasi tempatan, bagi memastikan negara lebih bersedia mendepani ketidaktentuan global pada masa hadapan.

“Platform seperti MEXCO-STI memainkan peranan penting, dalam menyelaras kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, untuk memperkukuh ekosistem STI secara menyeluruh di setiap negeri.

“Melalui kerjasama pelbagai pihak, setiap negeri berpeluang membangunkan kekuatan dan keupayaan inovasi masing-masing, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk menjadi pencipta teknologi dan bukan sekadar pengguna teknologi,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MOSTI juga telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi libat urus dengan semua ahli MEXCO-STI, untuk berkongsi bidang fokus MOSTI bagi 2026 dan mengenal pasti bidang STI yang berpotensi pada peringkat negeri, selaras dengan dapatan laporan Indeks Inovasi Malaysia (MII).

Menurut kenyataan itu sesi pertemuan tersebut, turut memberi penekanan kepada pengukuhan kepentingan STI dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai tunjang utama mencapai aspirasi Ekonomi MADANI.

Terdahulu, ahli MEXCO-STI turut mengadakan lawatan kerja ke Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm), di sini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan