KUALA NERUS, 7 Mei (Bernama) -- Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong mengakhiri lawatannya ke Terengganu hari ini dengan menghadiri Majlis Makan Malam bagi meraikan kunjungan pemimpin berkenaan dan delegasi beliau.
Lee, yang hadir bersama-sama isteri, Ho Ching ke majlis yang berlangsung di Dewan Elysium di Jambatan Angkat di sini, diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman.
Sejurus tiba pada 8.15 malam, beliau dan delegasinya diraikan dengan perarakan 40 bot nelayan yang dihiasi lampu berwarna-warni di muara Sungai Terengganu.
Selepas acara makan malam berakhir pada kira-kira 9.30 malam, para delegasi menyaksikan pembukaan baskul jambatan ikonik itu bagi memperlihat mekanisme operasinya apabila terdapat kapal besar melalui muara Sungai Terengganu.
Delegasi Singapura yang hadir termasuk Menteri di Kementerian Hal Ehwal Luar serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Zhulkarnain Abdul Rahim dan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong.
Yang turut serta ialah Ahli Parlimen Singapura Joan Pereira, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon dan barisan pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.
Selain Ahmad Samsuri, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan turut hadir bagi meraikan delegasi Singapura.
Lee mengadakan lawatan lima hari ke Pahang dan Terengganu bermula Isnin lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial