KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Teknologi kembar digital dan pembuatan pintar menjadi elemen yang semakin penting dalam memperkukuh ekosistem perindustrian Malaysia, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Ini semakin ketara apabila rantaian bekalan semikonduktor dan mobiliti global saling berkaitan dan dipacu teknologi.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Bukan Sumber) MIDA Ts Norhizam Ibrahim berkata pembuatan pintar telah menjadi keperluan yang penting untuk syarikat ingin kekal berdaya saing dalam ekosistem rantaian bekalan global.
Beliau berkata demikian pada forum ‘Digital Twin & Smart Manufacturing: Future-Proofing Small and Medium Enterprises (SME) in Semiconductor & Mobility Supply Chains’ yang diadakan pada Rabu lepas bersempena dengan SEMICON Southeast Asia 2026.
Norhizam berkata keperluan pelanggan telah berkembang melangkaui metrik konvensional seperti pensijilan ISO dan penghantaran tepat pada masa, dengan pengeluar kini dijangka menyediakan data mesin secara langsung, kebolehkesanan masa nyata, amaran awal kecacatan produk dan rangkaian kilang selamat yang mampu diintegrasikan secara terus dengan sistem pelanggan.
Katanya tekanan yang meningkat daripada pelanggan dan pihak pembiaya telah mempercepat penggunaan teknologi digital dalam operasi pembuatan apabila syarikat yang mempunyai data operasi dan kemampanan dilihat sebagai kurang berisiko dan lebih mudah mendapat keyakinan pelabur.
“Pada masa yang sama, tekanan persaingan semakin meningkat. Kemasukan pengeluar berkualiti tinggi dengan kos lebih rendah telah mencabar model operasi tradisional.
“Untuk kekal relevan, syarikat perlu beralih daripada kerja-kerja pemasangan asas kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan berteraskan inovasi, disokong oleh lonjakan besar dalam produktiviti dan kecekapan melalui automasi dan pembuatan pintar,” katanya.
Norhizam berkata hubungan antara sektor semikonduktor dan automotif menjadi asas yang semakin penting apabila kenderaan berkembang kepada kenderaan berteknologi tinggi yang dipacu perisian, mendorong permintaan lebih tinggi terhadap semikonduktor, sensor, sistem pengurusan kuasa dan sistem bantuan pemandu termaju.
Oleh itu, tumpuan Malaysia perlu beralih daripada insentif kepada pembinaan ekosistem yang lengkap dan sedia untuk dilaksanakan, disokong oleh pembangunan bakat, keupayaan keselamatan siber, penyepadu sistem dan pelaksanaan Industri 4.0.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Teknologi Pengangkutan MIDA Noor Suziyanti Saad berkata integrasi yang lebih baik antara industri semikonduktor dan automotif semakin penting berikutan cip kini menyumbang sebahagian besar kos kenderaan moden, terutamanya dengan peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV).
Beliau berkata Malaysia telah mempunyai asas yang kukuh dalam sektor semikonduktor dan automotif, memanfaatkan kekuatan kedua-dua industri ini dapat membantu negara memperkukuh daya saingnya dalam ekosistem EV serantau.
“Vendor tempatan dengan pengalaman selama berdekad dalam membekalkan komponen kepada pengeluar peralatan asli berada pada kedudukan yang baik untuk menaik taraf keupayaan dan menyertai rantaian bekalan EV generasi akan datang.
“Teknologi pembuatan pintar, termasuk sensor termaju, integrasi semikonduktor dan sistem pintar, akan memainkan peranan penting dalam memastikan kenderaan lebih selamat, lebih cekap tenaga dan terhubung,” katanya.
Noor Suziyanti berkata kerajaan juga bekerjasama rapat dengan universiti, pemain industri dan agensi teknikal untuk menangani jurang bakat yang melibatkan kejuruteraan perisian, seni bina sistem dan elektronik automotif bagi menyokong pembangunan industri jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial