KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Tekong utama negara Muhammad Syahir Mohd Rosdi menyasarkan gelaran kejuaraan dalam dua acara pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 16 hingga 23 Mei ini.
Syahir yang beraksi dalam acara regu dan regu berpasukan, mengakui cabaran pada kejohanan berprestij itu amat sengit terutama daripada musuh tradisi Thailand, yang dijangka membuat kebangkitan menebus kekalahan mereka di Sukan SEA tahun lepas.
“Untuk Piala Dunia kali ini saya dapat bermain dalam dua acara dan kalau boleh memang mahu muncul juara bagi kedua-duanya.
“Saya tahu bukan mudah kerana ada tekanan tambahan apabila bermain di tempat sendiri. Kami bukan sekadar mahu kekalkan prestasi, tetapi perlu meningkatkan lagi tahap permainan,” katanya selepas majlis memperkenalkan pemain kebangsaan malam tadi.
Muhamamd Syahir muncul antara tonggak utama yang membantu Malaysia menjuarai acara regu pada Piala Dunia 2024.
Malah, pemain berusia 30 tahun itu terus menjadi “igauan” buat pasukan Thailand apabila membantu Malaysia meraih emas acara regu dan regu berpasukan di Sukan SEA Disember tahun lepas.
Juara bertahan Malaysia diundi dalam Kumpulan A divisyen premier acara regu pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, dan berdasarkan undian, skuad negara bakal berdepan Jepun dan Singapura dalam usaha mempertahankan kejuaraan dimenangi sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial