EKONOMI

LBS Raih Empat Anugerah Berprestij Di StarProperty Real Estate Developer Awards 2026

08/05/2026 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pemaju hartanah LBS Bina Group Berhad (LBS) meraih empat anugerah berprestij di StarProperty Real Estate Developer Awards 2026 yang meraikan pemaju hartanah dengan sumbangan signifikan terhadap pembangunan sektor itu di Malaysia.

LBS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pencapaian itu, sebagai detik penting bagi syarikat berkenaan dalam meneruskan pelan hala tuju strategik ke arah menjadi pemaju hartanah berteraskan reka bentuk yang unggul dan berdaya saing dalam industri.

“Pada tahun ini, LBS telah dianugerahkan Foreign Touch Award’ bagi projek Centrum Iris, Excellence in the Business Estate Award bagi projek Taman Perindustrian Alam Perdana serta Excellence in the Starter Home Award bagi KITA Sejati.

“Kumpulan ini (LBS), turut tersenarai antara 10 Pemaju Hartanah Terunggul di Malaysia. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen teguh LBS terhadap janji jenamanya, ‘Bersama Membina Masa Depan’, yang merangkumi usaha membina gaya hidup bermakna, ekosistem perniagaan yang progresif serta komuniti yang mampan dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.

LBS turut memaklumkan pengiktirafan terhadap projek Centrum Iris, mengukuhkan pendekatan syarikat itu yang berteraskan reka bentuk holistik yang memenuhi jangkaan pembeli moden dan memperkaya kualiti kehidupan harian.

Menurut kenyataan itu kejayaan Taman Perindustrian Alam Perdana, menzahirkan komitmen syarikat itu dalam memperkukuh ekosistem ekonomi negara melalui pembangunan persekitaran perniagaan kondusif, sekali gus menyokong pertumbuhan industri, keusahawanan dan komuniti bersepadu.

“Pengiktirafan bagi KITA Sejati pula, mencerminkan keutamaan LBS terhadap nilai berteraskan rakyat, dengan menyediakan akses pemilikan rumah berkualiti khususnya kepada golongan keluarga muda dan pembeli kali pertama.

“Penyenaraian LBS sebagai antara 10 Pemaju Hartanah Terunggul di Malaysia, turut mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai pemaju yang diyakini, berwawasan dan konsisten dalam menyampaikan pembangunan bernilai tinggi selaras dengan keperluan rakyat yang sentiasa berkembang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Tan Sri Lim Hock San berkata pihaknya amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diterima.

“Pencapaian ini menegaskan komitmen LBS terhadap kecemerlangan, inovasi dan pembinaan komuniti. Anugerah ini mencerminkan janji jenama kami, ‘Bersama Membina Masa Depan’, dengan reka bentuk, fungsi dan rakyat menjadi teras kepada setiap pembangunan,” katanya.

StarProperty Real Estate Developer Awards 2026 memberi penghormatan kepada projek yang menampilkan mercu tanda ikonik dan pembangunan mampan, serta perbandaran bersepadu yang berjaya meningkatkan piawaian industri, memperkasakan komuniti termasuk memperbaiki kualiti kehidupan rakyat sekali gus mengiktiraf pemaju yang menyumbang kepada masa depan landskap hartanah negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan