AM

Taman Eko Rimba Ulu Bendul Ditutup Sementara Susulan Kes Disyaki Kencing Tikus

12/05/2026 08:33 PM

SEREMBAN,12 Mei (Bernama) -- Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah di sini ditutup sementara hingga 24 Mei ini bagi semua jenis aktiviti untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat kes disyaki leptospirosis atau kencing tikus di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Mohd Yussainy Md Yusop berkata penutupan sementara itu bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan kerja sanitasi, pembersihan rapi dan pemantauan kualiti air demi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

“Semalam, kami menerima laporan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah yang memaklumkan terdapat dua kes disyaki kencing tikus berlaku di pusat rekreasi berkenaan.

"Sehubungan itu, orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh penutupan dan kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan sedia ada. Keselamatan dan kesihatan awam adalah keutamaan kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Yussainy berkata kawasan rekreasi air yang lain di negeri ini dibuka seperti biasa dan pengunjung diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan.

"Jangan buang sisa makanan merata-rata kerana kita tidak mahu kawasan rekreasi lain pula terjejas. Sama-samalah menjaga kebersihan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Suriyati Abd Aziz berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa beberapa pengunjung mengalami muntah-muntah dan cirit-birit selepas mandi di taman rekreasi tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan