EKONOMI

Cadangan Klausa OTP Beri Perlindungan Kepada Pembeli Rumah, Pemaju- Rehda

13/05/2026 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Klausa “Pilihan untuk Membeli” (OTP) yang dicadangkan di bawah undang-undang perumahan baharu boleh memberikan perlindungan yang lebih baik kepada bakal pembeli rumah, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Menurut Rehda dalam kenyataan hari ini, selain itu langkah berkenaan membantu pemaju untuk menilai dengan lebih berkesan minat pasaran yang sebenar dan mengurangkan risiko projek terbengkalai.

Presidennya Datuk Ho Hon Sang dalam kenyataan sama berkata, melalui klausa yang dicadangkan itu, pembeli dan pemaju boleh menarik diri daripada urus niaga berkenaan sebelum menandatangani perjanjian jual beli.

Langkah berkenaan memberikan kelonggaran kepada pembeli untuk membatalkan pembelian sekiranya keadaan berubah atau mereka berubah fikiran mengenai pembelian hartanah itu.

Selain itu, pemaju akan mempunyai fleksibiliti untuk menarik diri daripada projek yang mungkin tidak lagi berdaya maju dari segi komersial atau kewangan.

"Walaupun mekanisme itu masih belum dimuktamadkan dan banyak ketidakpastian mengenai klausa itu, secara prinsipnya, mekanisme OTP ini memberi manfaat dalam melindungi bakal pembeli rumah yang berhasrat untuk membeli unit kediaman tertentu.

"Pada masa sama, langkah ini memberi mereka peluang untuk mempertimbangkan semula keputusan pembelian sekiranya situasi berubah," katanya.

Beliau berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus melibatkan pemain industri termasuk Rehda untuk memuktamadkan perincian dan rangka kerja mekanisme OTP.

Ho turut menekankan bahawa klausa itu perlu jelas, praktikal dan adil dalam melindungi kepentingan pembeli dan pemaju.

"Pengenalan OTP juga berpotensi memberikan penyelesaian praktikal kepada pelbagai isu yang dihadapi kedua-dua pihak, termasuk kebimbangan berkaitan projek perumahan terbengkalai, seperti yang dinyatakan oleh menteri berkenaan (Nga Kor Ming) semasa mengumumkan perkara ini," katanya.

Baru-baru ini, Nga berkata KPKT sedang mengkaji untuk memperkenalkan mekanisme OTP di bawah cadangan Rang Undang-Undang Pemajuan Harta Tanah untuk membantu mengurangkan risiko projek perumahan sakit, lewat dan terbengkalai di samping memberi fleksibiliti kepada pembeli rumah dan pemaju.

Menurut Nga, sejak Disember 2022, pasukan petugas khas kementerian telah berjaya memulihkan lebih 1,500 projek perumahan uzur dan terbengkalai di seluruh negara, melibatkan nilai pembangunan kasar melebihi RM140 bilion sekali gus memberi harapan baharu kepada lebih 176,000 pembeli di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan