Daripada Kisho Kumari Sucedaram
BANGKOK, 13 Mei (Bernama) -- ASEAN menganggap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi semasa membabitkan sektor penerbangan sebagai peluang bagi menyemarakkan kerjasama serantau selain mempercepat pembaharuan yang lama tertangguh.
Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Ekonomi ASEAN Satvinder Singh berkata pembaharuan itu termasuk aspek liberalisasi perkhidmatan kargo, keseragaman peraturan dan mempercepat pelaksanaan Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN (ASAM) yang dapat mengukuhkan lagi sektor penerbangan Asia Tenggara.
Beliau juga optimis cabaran global semasa dapat mengukuhkan sektor penerbangan ASEAN bagi tempoh setahun hingga dua tahun akan datang.
“Saya berharap kita dapat berkumpul semula dalam tempoh setahun dua lagi untuk menyatakan bahawa krisis ini ada manfaatnya dan inilah yang menyatukan kita,” katanya pada sesi panel Perhimpunan, Persidangan dan Pameran Serantau Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Asia Pasifik dan Timur Tengah di sini, hari ini.
Satvinder berkata kalangan negara anggota ASEAN dilihat memanfaatkan krisis itu sebagai pemangkin untuk penambahbaikan penyelarasan, mengukuhkan daya tahan dan mempercepat pembaharuan yang sebelum ini pada kadar lebih perlahan.
Beliau berkata ASEAN juga sedang memuktamadkan apa yang disifatkan sebagai perjanjian digital serantau terbesar dunia yang berperanan dari segi kesahihan perundangan dan dijangka dimeterai lewat tahun ini di Manila.
Perjanjian itu dijangka menyokong sektor penerbangan dan hubungan serantau dengan menambah baik sistem pembayaran, aliran data dan integrasi e-dagang.
Selain itu, beliau berkata di sebalik kebimbangan mengenai gangguan perdagangan dan ketegangan geopolitik, ASEAN memasuki 2026 dalam kedudukan kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini tumbuh 4.9 peratus pada 2025, melepasi unjuran awal pada 4.2 peratus.
Perdagangan serantau turut berkembang 8.8 peratus, naik daripada US$3.8 trilion (US$1= RM3.93) kepada US$4.3 trilion manakala pelaburan langsung asing (FDI) tumbuh sebanyak 10 peratus.
Satvinder berkata para pemimpin ASEAN juga telah menunjukkan perpaduan kukuh dalam menangani cabaran semasa, termasuk kerjasama bagi memastikan daya tahan sektor tenaga dan penerbangan.
Beliau merujuk tawaran Thailand bagi menyokong negara-negara jiran dengan lebihan bahan api jet sebagai contoh semangat kerjasama dalam rantau ini.
Krisis semasa itu juga menjadi peluang untuk memperkukuh aspek perjalanan intra ASEAN serta penyepaduan serantau.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan untuk mempercepat proses ratifikasi perjanjian penerbangan dalam kalangan ASEAN untuk meningkatkan pelaksanaan ASAM berkenaan.
“Kita perlu meningkatkan proses ratifikasi di rantau ini dan memanfaatkan usaha yang ada untuk membolehkan perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
ASEAN, katanya, telah mencapai kemajuan besar dalam usaha liberalisasi kebebasan hak trafik ketiga dan keempat dan kini meneruskan rundingan berkaitan perjanjian perkhidmatan udara dengan sekutu utama termasuk Kesatuan Eropah, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom.
“Namun, masih banyak yang perlu dilakukan, khususnya dalam meliberalisasikan perkhidmatan kargo udara, menyelaraskan peraturan dan memperkukuh pengiktirafan bersama dalam sistem keselamatan penerbangan,” katanya.
Satvinder turut menekankan kepentingan strategik hubungan kargo udara kepada industri semikonduktor ASEAN dengan rantau ini menghasilkan 60 hingga 70 peratus semikonduktor dunia dan sebahagian besarnya bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan udara.
Selain liberalisasi penerbangan, Satvinder berkata ASEAN juga dalam usaha memajukan inisiatif serantau lebih meluas dalam aspek pendigitalan dan kemampanan.
Mengulas kemampanan, beliau berkata negara-negara ASEAN berkemungkinan meningkatkan usaha dalam pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan biobahan api dengan memanfaatkan kemampuan kukuh sektor pertanian serta sumber sisa pertanian yang meluas di rantau ini.
Menurut Satvinder, walaupun krisis semasa mewujudkan cabaran operasi di seluruh sektor penerbangan, keadaan itu juga hanya memaparkan keperluan mendesak untuk negara-negara ASEAN bergerak lebih pantas dalam aspek penyelarasan serantau, daya tahan dan transformasi jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial