EKONOMI

CelcomDigi Catat Untung Bersih Lebih Tinggi Sebanyak RM418 Juta Pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2026

13/05/2026 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih CelcomDigi meningkat  kepada RM418 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM384 juta pada suku pertama 2025.

Menurut pengendali rangkaian mudah alih itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehannya menyusut kepada RM3.208 bilion daripada RM3.209 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2025.

CelcomDigi memaklumkan, keadaan ini disebabkan perolehan yang menyusut dalam segmen prabayar susulan perubahan strategiknya daripada pembelian kad SIM prabayar sekali sahaja dan perolehan daripada peranti.

Syarikat itu turut mengumumkan dividen interim pengecualian cukai (peringkat tunggal) keempat sebanyak 3.6 sen sesaham biasa, yang telah dibayar pada 30 Mac 2026.

Mengenai prospek, menurut CelcomDigi, syarikat kekal memberi tumpuan untuk menyediakan pengalaman rangkaian yang lebih baik dengan memanfaatkan rangkaian 4G yang telah dimodenkan bersama akses kepada infrastruktur 5G milik Digital Nasional Bhd (DNB).

“CelcomDigi bersama pemegang saham DNB yang lain sedang dalam proses melengkapkan pengambilalihan pegangan saham milik Kementerian Kewangan dalam DNB.

“Selain itu, DNB baru-baru ini telah diberikan peruntukan spektrum selama 15 tahun kepada pemegang sahamnya bagi 200 megahertz (MHz) F0, F1 dan 40 MHz L1,” menurutnya.

Mengulas mengenai prestasi syarikat, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi  Albern Murty berkata prestasi suku pertama itu mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin serta asas struktur kukuh yang dibina syarikat telekomunikasi itu sepanjang tiga tahun lepas.

“Ketika kami memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, kami memperkemas portfolio untuk menjana nilai mampan berkualiti tinggi bagi segmen pengguna menerusi tawaran mudah alih, rumah dan fiber yang kukuh serta perkhidmatan lebih diperibadikan mengikut segmen yang meningkatkan pengalaman pelanggan.

"Kami akan terus memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih berdisiplin dan berpacukan data terhadap kecekapan operasi yang akan mengekalkan pertumbuhan dan margin," katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan