KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian berkaitan mengadakan sesi libat urus bersama dengan penjaja bagi mengenal pasti isu yang menyebabkan kadar penyertaan golongan itu dalam program bantuan kewangan formal masih rendah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata arahan itu diberikan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan kajian dan hasil tinjauan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang mendapati hanya lima peratus penjaja menerima bantuan daripada institusi seperti Bank Simpanan Nasional, TEKUN Nasional serta Amanah Ikhtiar Malaysia.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata laporan tersebut menunjukkan antara faktor yang dikenal pasti ialah status perniagaan penjaja yang tidak berdaftar sekali gus menyukarkan mereka mendapat akses kepada bantuan kewangan formal.
“Perdana Menteri telah meminta kementerian-kementerian berkenaan melakukan sesi libat urus termasuk dengan penjaja sendiri untuk memahami isu-isu yang dihadapi.
“Ini bagi memastikan bantuan kewangan formal dapat dilanjutkan dan dipanjangkan kepada mereka,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut mengambil maklum mengenai perasmian Pusat Mediasi MADANI, sebuah inisiatif kerajaan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata pusat berkenaan menyediakan perkhidmatan mediasi komersial secara pro bono atau percuma, melibatkan pertikaian bernilai di bawah RM250,000.
“Pada ketika ini, terdapat lebih 170 pengantara yang berkelayakan untuk mengendalikan isu-isu yang memerlukan mediasi,” katanya.
Beliau berkata Pusat Mediasi MADANI itu akan dirasmikan di ibu negara pada 18 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial