PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Datuk Seri Abdul Halim Aman hari ini tekad untuk terus memperkukuh usaha membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam negara.
Menerusi amanat sulungnya, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan amanah diberikan untuk menerajui SPRM dan menyeru seluruh warga SPRM agar bersama-sama memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
Beliau berkata amanah yang digalas bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, malah menjadi satu ikrar yang wajib dikotakan oleh setiap warga SPRM.
“Cabaran, kekangan dan rintangan dalam melaksanakan tugas sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia perlu ditangani dengan kebijaksanaan serta berpandukan akta dan arahan ditetapkan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengarah Kanan dan Pengarah Bahagian SPRM di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira 8.20 pagi, disambut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Indera Junipah Wandi, bersama pengarah dan pegawai kanan SPRM.
Abdul Halim kemudiannya mengimbas kad pas dan meletakkan tapak tangan pada tablet sebagai simbolik pada Majlis Sambutan dan Mula Tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bermula hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pegawai SPRM supaya mengelakkan sebarang unsur penganiayaan ketika menjalankan tugas dan sentiasa memperbaiki kelemahan sekiranya berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.
Pada masa sama, beliau mengakui persepsi masyarakat terhadap SPRM tidak boleh diketepikan dan menegaskan bahawa setiap pegawai perlu menjalankan amanah dengan sebaik mungkin demi menjaga kredibiliti suruhanjaya.
Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan, Abdul Halim berkata siasatan dan pendakwaan perlu bergerak seiring bagi memastikan perjalanan kes yang dibawa ke mahkamah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
Katanya, antara pembaharuan yang akan diperkenalkan adalah memperkukuh penyelarasan antara bahagian siasatan dan pendakwaan SPRM bagi memudahkan urusan pegawai terlibat.
Dalam menghadapi kekangan pegawai siasatan, beliau turut menyarankan agar pengisian dalaman diperkasakan selain menekankan kepentingan pendidikan masyarakat berkaitan pencegahan rasuah diteruskan tanpa henti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial