EKONOMI

ICW Borneo 2026 Pacu Industri Pembinaan Sabah Dan Sarawak

13/05/2026 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2026 dilancarkan secara rasmi di Kota Kinabalu semalam, menandakan penganjuran kali kedua acara industri pembinaan serantau yang memfokuskan pembangunan industri, perbincangan teknikal dan penglibatan pemain industri di Malaysia Timur.

Acara berkenaan dianjurkan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dengan kerjasama Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd selepas edisi pertama di Kuching, Sarawak tahun lepas.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, dengan kehadiran Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan, pegawai kanan kerajaan dan wakil industri.

Dalam satu kenyataan, CIDB berkata acara itu mencerminkan usaha berterusan untuk memperluas akses kepada pengetahuan industri, memperkukuh penyertaan serantau dan menyokong pembangunan lebih inklusif dalam sektor pembinaan negara.

“Dengan pembangunan infrastruktur yang semakin berkembang di Malaysia Timur serta penekanan yang meningkat terhadap kelestarian, ICW Borneo 2026 menjadi platform tepat pada masanya untuk menyokong landskap pembinaan Sabah yang terus berkembang,” menurut kenyataan itu.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Masidi, Hajiji berkata Sabah kini melalui fasa transformasi pembangunan yang memberi tumpuan kepada pengukuhan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026-2030).

“Melalui pelan ini, kita memasuki fasa pertumbuhan baharu yang menumpukan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi, peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai jangka panjang kepada rakyat.

“Sektor pembinaan akan memainkan peranan penting dalam transformasi ini dan keutamaan kami adalah memperkukuh pelaksanaan, meningkatkan penyelarasan serta memastikan projek dilaksanakan secara cekap, telus dan memberi nilai yang mampan,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya dan CIDB Malaysia telah melabur lebih RM150 juta bagi memperkukuh ekosistem pembinaan Sabah melalui pendigitalan, pembangunan teknikal dan latihan tenaga kerja.

Beliau berkata sektor pembinaan kekal sebagai pemacu utama pembangunan negara manakala Sabah mempunyai potensi besar dalam pembangunan infrastruktur, pembangunan mampan dan kesalinghubungan serantau.

CIDB Malaysia turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mewujudkan kemudahan latihan Building Information Modelling (BIM) di Kota Kinabalu dengan pelaburan RM2.25 juta bagi membantu pemain industri meningkatkan keupayaan dan kompetensi teknikal dalam teknologi berkenaan.

Selain itu, Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM) Sabah turut diperkukuh melalui penaiktarafan kepada fasiliti bertaraf akreditasi antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan ujian bahan, pemeriksaan dan sokongan teknikal.

“Dengan pelaburan kerajaan Persekutuan kira-kira RM19.4 juta, fasiliti itu membolehkan pemain industri di Sabah mengakses perkhidmatan ujian bertaraf dunia secara tempatan sekali gus mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan,” katanya.

CIDB Malaysia juga melabur RM130.6 juta bagi membangunkan kampus eko baharu di Sabah yang bakal menjadi kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) paling moden di negara ini dengan kapasiti sehingga 700 pelatih pada satu masa. 

“Sejak 2001, ABM Sabah telah melatih lebih 195,000 rakyat Sabah sekali gus membuka laluan kepada peluang pekerjaan bermakna dalam industri pembinaan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

CIDB Malaysia berkata BuildXpo Malaysia (Borneo) turut diadakan serentak dengan ICW Borneo 2026, menampilkan teknologi dan penyelesaian daripada syarikat berpangkalan di Eropah, China, Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, antara tarikan utama ICW Borneo 2026 ialah Sidang Kemuncak Kelestarian Pembinaan 2026 bertemakan “From Ambition to Action: Delivering Sabah’s Sustainable Future” yang menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan profesional bagi membincangkan pembangunan infrastruktur mampan, amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pembinaan rendah karbon.

Acara itu turut menampilkan pelbagai sesi teknikal dan industri termasuk “Fair Contracts, Fair Outcomes: Managing Risks and Avoiding Disputes in Construction Projects”, “BIM Beyond Design: Towards Digital Construction in Borneo” serta National Crane Competition Bootcamp and Talk.

ICW Borneo 2026 juga menjadi acara pengenalan kepada ICW dan BuildXpo Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 Nov 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, kata CIDB Malaysia.

Acara itu akan menampilkan pameran antarabangsa berskala besar bersama Glasstech Asia & Fenestration Asia 2026, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan, inovasi dan kerjasama industri.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini menerusi laman sesawang https://icw.my/.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan