KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil senada dengan Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Jho Low, yang dilaporkan cuba mendapatkan pengampunan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), tidak patut dimaafkan.
Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sepatutnya pulang untuk berdepan dengan pengadilan di mahkamah Malaysia berkaitan skandal kewangan 1MDB.
“Jho Low tidak patut diberi sebarang pertimbangan memaafkan kerana dosa dan musibah yang telah dia bawa kepada negara kita ini terlalu besar.
“Dia kena balik dan dibawa ke mahkamah di Malaysia untuk diadili. Itu yang sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di sini, hari ini.
Fahmi berkata pihak kerajaan belum membincangkan lagi perkara tersebut kerana berita itu disiarkan ketika mesyuarat Jemaah Menteri sedang berlangsung, semalam.
Media antarabangsa melaporkan bahawa Jho Low, yang dituduh oleh AS sebagai dalang antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, didakwa telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump beberapa minggu lepas.
Menurut laporan itu, sekiranya permohonan berkenaan diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah AS terhadap Jho Low.
Laporan itu turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman AS menyenaraikan status permohonan yang dibuat atas nama Taek Jho Low dan difailkan tahun ini sebagai pending (belum selesai) bagi Pardon after Completion of Sentence (pengampunan selepas selesai menjalani hukuman).
Ahli perniagaan itu sebelum ini berdepan dengan pertuduhan menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana 1MDB pada 2018, namun hingga kini, beliau masih bebas dan menjadi buruan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Fahmi berkata satu permukiman mengenai tindakan bersepadu rentas kementerian dan kerjasama bagi membanteras jenayah dalam talian akan diadakan pada 23-24 Mei ini.
“Kita dapati selain aspek perundangan, penyelarasan yang lebih rapi, kerjasama yang lebih erat antara agensi dengan jabatan, sangat-sangat mustahak.
“Hal ini kerana banyak daripada jenayah scam (penipuan) ini berdasarkan masa ataupun waktu tertentu, sekiranya kita berjaya sekat wang yang mengalir keluar dalam tempoh setengah jam, satu jam dan kemudiannya berusaha untuk menangkap mereka yang cuba untuk mengeluarkan wang ini, kita akan berjaya membanteras gejala scam,” katanya.
Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar cemerlang SPM, serta mengumumkan sumbangan RM3,000 bagi setiap sekolah di parlimen itu bersempena dengan Hari Guru yang akan disambut pada Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial