PASIR PUTEH, 14 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membina sebuah lagi stesen pam pengairan bernilai RM1.15 juta di Pasir Puteh bagi memperkukuh sistem pengairan dan saliran kawasan penanaman padi seliaannya di Kelantan.
Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani cabaran dalam sektor pertanian termasuk perubahan iklim, peningkatan suhu global, kenaikan kos input pertanian dan tekanan terhadap sumber air.
Beliau berkata stesen pam itu membolehkan bekalan air ke kawasan sawah disalurkan dengan lebih stabil, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem pengairan.
“Projek ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada dua kawasan bendang utama iaitu Bendang Gong Tambak dan Bendang Kubang Tok Yoh melibatkan 43 petani dengan keluasan kira-kira 128 hektar tanah sawah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Pam Pengairan Gong Tambak di sini hari ini.
Khalid berkata projek itu bukan sahaja memberi fokus kepada peningkatan bekalan air pertanian, malah menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata pengurusan air merupakan antara faktor paling kritikal dalam aktiviti penanaman padi kerana pengeluaran hasil bergantung kepada sistem pengairan dan saliran yang cekap, stabil serta mampan.
Menurutnya, gangguan bekalan air atau kelemahan sistem saliran boleh menjejaskan penanaman, mengurangkan produktiviti dan memberi kesan langsung kepada pendapatan pesawah serta pengeluaran makanan negara.
Sementara itu, beliau berkata hasil tuaian bagi musim 2/2025 amat memberangsangkan apabila sebahagian petani berjaya memperoleh hasil hingga tujuh tan sehektar.
Beliau berkata pencapaian itu didorong pengurusan air yang lebih cekap selepas Projek Sistem Pam Kemubu 4 mula beroperasi sepenuhnya pada Februari lepas.
“Projek bernilai hampir RM20 juta yang melibatkan lapan pam utama di Stesen Rumah Pam Kemubu serta pam sokongan di Lemal, Pasir Mas berjaya menstabilkan bekalan air ke kawasan penanaman padi.
“Projek ini menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu pengairan khususnya di kawasan Bachok dan sekitarnya. Hasilnya, kira-kira 93 hingga 95 peratus kawasan tanaman padi berjaya diusahakan tanpa gangguan besar walaupun berdepan cabaran cuaca,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Khalid berkata setakat ini peratusan penuaian musim 2/2025 mencapai 45 peratus melibatkan keluasan tanaman 24,838 hektar, manakala lebih 11,000 hektar lagi masih dalam fasa keluar tangkai dan masak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial