KLANG, 15 Mei (Bernama) -- Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor akan membuka kaunter khas di empat lokasi termasuk Sekinchan dari 19 hingga 21 Mei ini bagi membantu pesawah dan pengusaha jentera padi memohon permit khas pembelian diesel.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu diambil susulan keluhan pengusaha jentera padi yang mendakwa hanya dibenarkan membeli 20 liter diesel sehari, sedangkan keperluan operasi menuai jauh lebih tinggi.
“Untuk mohon 200 liter (diesel) sehari, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh pertimbangkan kerana perkara ini memang bawah KPDN walaupun minyak (diesel) ini digunakan dalam perusahaan lain.
“IADA Barat Laut Selangor akan buka kaunter di empat lokasi pada 19 Mei nanti untuk bantu pesawah termasuk yang ingin memohon permit khas dan ini bergantunglah (kepada) pertimbangan KPDN dan mereka boleh buat permohonan bila kaunter khas dibuka,” katanya kepada media selepas program pelancaran Tuaian Nanas Projek Rintis Pintar Parlimen Kota Raja di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan kira-kira 6,000 hektar sawah di kawasan Sekinchan, Sungai Leman, Sungai Nipah dan Pasir Panjang berisiko terjejas susulan kesukaran pemilik jentera padi mendapatkan bekalan diesel.
Situasi itu melibatkan kira-kira 2,900 pesawah dan dijangka menjejaskan pengeluaran padi sehingga 42,000 tan metrik bagi satu musim sekiranya masalah bekalan bahan api tidak diselesaikan segera.
Ditanya mengenai bekalan beras, Mohamad berkata bekalan beras ketika ini berada dalam keadaan stabil dan dijangka mencukupi hingga hujung tahun ini.
“Stok stabil sampai ke hujung tahun dan menjelang Januari, tentulah kita ada ikhtiar-ikhtiar ke arah menstabilkan pula pada tahun hadapan. Jangan beli banyak, beli biasa dan jangan panik,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan program itu, Mohamad berkata kejayaan tuaian pertama projek berkenaan membuktikan bahawa kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan komuniti mampu memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi rakyat serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata projek yang dimulakan pada Ogos 2024 itu menyaksikan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) membekalkan lebih 392,000 sulur benih nanas MD2 melibatkan 13 peserta, dengan keluasan tanaman mencecah 10.4 hektar.
Katanya berdasarkan anggaran kos dan pulangan bagi projek tanaman nanas MD2 seluas 2.4 hektar, ia dianggarkan mampu menjana pendapatan kasar sebanyak RM357,840.
“Lebih membanggakan, keuntungan bersih projek dianggarkan sekitar RM173,534 dengan potensi pendapatan bersih bulanan sebanyak RM9,641. Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa industri nanas premium mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan mampan serta mampu meningkatkan taraf ekonomi pengusaha tempatan,” katanya.
Mohamad turut menekankan aspek kelestarian bagi memastikan projek pertanian seperti ini dapat diteruskan dalam jangka panjang dan tidak terhenti di pertengahan jalan.
“Kalau lima tahun lagi kita datang melihat projek ini, biarlah masih ada kebun nanas atau sekurang-kurangnya digantikan dengan projek pertanian lain, yang penting ada kesinambungan kerana apa yang sering berlaku ialah selepas dua, tiga atau empat tahun, projek terus hilang. Itu yang kita perlu cari jalan bagaimana memastikan soal kelestarian ini benar-benar dapat dipertahankan.
“Kita sudah banyak membelanjakan peruntukan, namun cabaran utama ialah memastikan usaha itu dapat bertahan. Saya melihat masyarakat Tionghua yang terlibat dalam bidang akuakultur misalnya, mampu bertahan hingga 10, 15 malah 20 tahun. Sama ada untung atau rugi, mereka tetap meneruskan usaha sehingga akhirnya mencapai kejayaan…inilah perkara yang perlu kita renung dan fikirkan bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial