SEREMBAN, 15 Mei (Bernama) -- Keputusan untuk membenarkan pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah diputuskan Kabinet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata semua pelajar, tanpa mengira aliran sekolah, mesti memenuhi syarat asas, iaitu lulus Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Keputusan Kabinet (SMPC/UEC) dengan syarat Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM lulus. Jadi, kita bagi ruanglah, walaupun mungkin dengan beberapa kursus dulu, kerana dahulu hal ini tidak dipersetujui. Sekarang, bila sekolah Cina diterima, jadi kita pun terima baik.
“Ini bukannya terpakai kepada UEC. (sahaja, tetapi) sekolah Arab, menengah, tahfiz dan sebagainya, semua syarat sama, termasuk sekolah antarabangsa melibatkan pelajar Malaysia. Cuma ada beberapa perincian yang sedang kita bincangkan…,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara 2026, di sini hari ini.
Semalam, kerajaan dilaporkan bersetuju dengan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan daripada luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA di negara ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) ke IPTA.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata isu membabitkan kerakyatan pemain warisan perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri mengikut proses ditetapkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial