SUKAN

Letshanaa Tekad Manfaat Pengalaman Piala Uber Di Masters Malaysia

15/05/2026 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) --  Pemain perseorangan wanita negara K. Letshanaa semakin yakin menjelang kejohanan Masters Malaysia minggu depan selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada saingan Piala Uber di Horsens, baru-baru ini.

Letshanaa berkata pengalaman berdepan pemain ternama dunia dalam kejohanan berpasukan wanita itu memberi suntikan semangat terbaik menjelang aksi di laman sendiri di Arena Unifi, Bukit Jalil dari 20 hingga 25 Mei ini.

Pada saingan Piala Uber, pemain berusia 21 tahun itu menampilkan prestasi membanggakan apabila memberi tentangan sengit kepada bekas juara dunia dari Jepun Akane Yamaguchi sebelum tewas 19-21, 17-21 dalam aksi peringkat kumpulan.

Pada suku akhir menentang China pula, beliau sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila mencabar pemain nombor dua dunia Wang Zhiyi sebelum akur 17-21, 18-21.

“Keputusan yang dicapai sangat baik dan ia juga pengalaman berharga buat saya. Saya banyak belajar daripada kejohanan itu.

“Saya harap dapat menggunakan pengalaman tersebut untuk terus melangkah ke hadapan serta membawa keyakinan itu ke Masters Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di sini hari ini.

Berdasarkan undian kejohanan, pemain ranking ke-33 dunia itu dijadual menentang wakil Denmark, Amalie Schulz yang menghuni ranking ke-41 dunia pada pusingan pertama Malaysia Masters.

Mengulas peningkatan konsisten dalam ranking dunia, Letshanaa berkata beliau tidak menetapkan tempoh tertentu untuk mencapai sasaran ranking, sebaliknya memilih memberi tumpuan terhadap peningkatan prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

Katanya kedudukan semasanya ketika ini memuaskan, namun beliau tetap fokus untuk terus memperkemaskan tahap permainan.

Kejohanan Masters Malaysia bertaraf Super 500 itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$475,000 (RM1.876 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan