PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan dua bekas pelajar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan memberikan jaminan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh serta memerintahkan mereka ditahan di bawah perkenan Sultan Perak.
Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata alasan yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon tidak terjumlah kepada keadaan khusus atau luar biasa bagi mewajarkan pemberian jaminan.
Turut bersidang Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Kedua-dua remaja disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 13 Jan lepas bagi kesalahan membunuh adik lelaki tertuduh kedua yang berusia 17 tahun di sebuah rumah di Taman Gleenview, Kamunting, Taiping, Perak antara 3 petang hingga 6 petang pada 5 Julai 2019.
Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka ditahan atas perkenan Sultan Perak mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Remaja lelaki itu berumur 15 tahun manakala remaja perempuan 14 tahun ketika kejadian dan kini mereka masing-masing berusia 22 serta 21 tahun.
Sebelum ini, mereka dibenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin, tertakluk kepada beberapa syarat termasuk perlu melapor diri di balai polis dua kali seminggu serta sekatan pergerakan dan perjalanan.
Pada prosiding hari ini, peguam Ahmad Faazil Rahman Saiful Jaafar Sadik yang mewakili remaja lelaki memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dan jaminan atas alasan anak guamnya sedang mengikuti pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan serta telah memperoleh diploma.
Beliau berkata pemohon berhasrat untuk meneruskan pengajiannya serta mendapatkan ijazah, dan penahanan berterusan akan memaksa remaja itu berhenti belajar.
Peguam Nur Aida Md Zainuddin, yang mewakili remaja perempuan dengan dibantu oleh SK Loges Kesavan, pula berkata anak guamnya sudah berkahwin dan kini menyusukan anak yang berumur dua tahun.
Beliau berkata susulan penahanan anak guamnya selepas sabitan, kanak-kanak itu dijaga oleh ibu bapa remaja perempuan tersebut namun disebabkan masalah kesihatan, kini dia dijaga oleh ibu dan bapa saudaranya, sambil menambah bahawa suami serta bapa saudara pemohon bersedia menjadi penjamin.
Nur Aida turut memaklumkan bahawa tarikh pengurusan kes itu belum ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir membantah kedua-dua permohonan atas alasan tiada keadaan khas yang wujud untuk membolehkan jaminan diberikan.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin dalam alasan penghakimannya berkata bukti menunjukkan perbuatan itu telah dirancang lebih awal oleh pelaku dengan niat untuk menyerang dan melumpuhkan mangsa sebelum memukulnya sehingga mati.
Berdasarkan fakta kes, jasad mangsa yang dibungkus dalam plastik telah ditemukan di pintu belakang rumah seorang jiran dengan keadaan kedua-dua tangannya terikat.
Pakar patologi forensik memberi keterangan bahawa punca kematian mangsa ialah pendarahan berlebihan akibat tikaman pada leher.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial