SUKAN

Wan Rohaimi Lega Penang FC Akhiri Musim Dengan Kemenangan

15/05/2026 10:25 PM

GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas DPMM FC dalam aksi terakhir Liga Super musim 2025/2026, sebagai hadiah istimewa buat penyokong selepas melalui musim yang mencabar.

Beliau berkata keputusan tersebut amat bermakna, kerana skuad Harimau Kumbang sebelum ini bergelut untuk meraih kemenangan dalam beberapa perlawanan terakhir.

“Alhamdulillah, akhirnya apa yang kita nanti-nantikan muncul tiba pada perlawanan terakhir. Walaupun banyak peluang gagal disudahkan, sekurang-kurangnya kita menang 2-1 dan kemenangan ini untuk penyokong Penang FC,” katanya selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai keseluruhan perjalanan musim ini, Wan Rohaimi menyifatkan pencapaian Penang FC sebagai sesuatu yang membanggakan, memandangkan 95 peratus pemain dalam skuad musim ini merupakan pemain baharu.

Beliau berkata meskipun pasukan bermula agak perlahan, namun mereka berjaya memperbaiki prestasi pada separuh kedua saingan, sehingga menamatkan musim di tangga kelapan Liga Super selain berbangga apabila mara ke suku akhir Piala FA dan menjadi finalis Piala Cabaran.

Mengenai perancangan musim depan, Wan Rohaimi berkata masih terlalu awal untuk berbincang mengenainya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan Penang FC, untuk menilai hasil kerjanya bersama pasukan musim ini.

Sementara itu, Ketua jurulatih DPMM FC Jamie McAllister berkata pasukannya perlu segera memperbaiki kelemahan terutama dari aspek disiplin dan pertahanan, selepas beberapa kesilapan individu, kelekaan serta keputusan tidak tepat dalam situasi penting, menjadi faktor utama menyebabkan mereka gagal membawa pulang keputusan positif di George Town.

“Saya fikir ini satu keputusan yang buruk. Kami bemain dengan buruk hari ini, terutamanya secara indvidu, membuat banyak kesilapan dan keputusan yang salah. Saya tidak boleh nafikannya. Pemain perlu mengambil tanggungjawab atas prestasi ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau melihat penampilan pertama DPMM FC dalam saingan Liga Super Malaysia sebagai satu proses pembelajaran penting, walaupun pasukan berdepan cabaran dari segi konsistensi, kecederaan dan penggantungan pemain sepanjang musim.

McAllister berkata musim depan, DPMM FC akan mengekalkan beberapa pemain sedia ada yang menunjukkan prestasi baik, serta merancang membawa masuk beberapa muka baharu bagi memperkukuh cabaran pasukan untuk bersaing di kelompok separuh atas liga pada musim depan.

“Tahun hadapan kami akan kembali dengan lebih kuat. Kita akan buat pengambilan lebih baik dan membawa pemain lebih baik, kerana kami mahu bersaing dan beri cabaran kepada pasukan terbaik dan itu yang akan kami lakukan,” katanya.

Terdahulu, perlawanan terakhir musim ini menyaksikan Penang FC akhirnya menamatkan kemarau lapan perlawanan tanpa kemenangan, sekali gus menutup saingan di tangga kelapan dengan 25 mata, manakala DPMM FC pada kedudukan ke-10 selepas mengumpul 23 mata.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan