KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026-2030 untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan IPT yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi bagi melahirkan usahawan holistik bertaraf global.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelan itu dibangunkan selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang menekankan fleksibiliti pendidikan, penguasaan teknologi, pembelajaran sepanjang hayat, inovasi dan pembinaan bakat masa hadapan.
“Kita mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu dan kelayakan tetapi juga mempunyai ciri kepimpinan, daya cipta, pemikiran kritis, keberanian mengambil risiko serta semangat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita mahu melihat lebih banyak start-up mahasiswa berkembang menjadi syarikat bertaraf global, kita mahu lebih banyak hasil penyelidikan universiti berjaya dikomersialkan, kita mahu lebih banyak kerjasama strategik antara universiti, industri dan pelabur diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Keusahawanan KPT 2025 dan pelancaran PTK-IPT 2026-2030 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Zambry berkata pelan tindakan itu akan memastikan bahawa agenda keusahawanan merangkumi mahasiswa daripada pelbagai latar belakang termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, politeknik, kolej komuniti, universiti awam serta swasta.
Pada masa sama, beliau berkata KPT bersama seluruh IPT akan terus memperkukuh budaya inovasi dan keusahawanan dalam kampus bagi menjadikan universiti sebagai living laboratories - tempat idea dilahirkan, diuji, dipasarkan dan dikembangkan menjadi penyelesaian sebenar kepada masyarakat serta industri.
“Saya percaya universiti yang hebat bukan hanya diukur melalui ranking dan penerbitan akademik semata-mata tetapi juga melalui sejauh mana universiti itu mampu melahirkan graduan yang memberi impak kepada masyarakat, ekonomi dan negara.
“Inilah juga semangat terkandung dalam gagasan Brain of the Nation atau Akal Budi Nusa yang kita tekankan dalam rancangan pendidikan tinggi Malaysia 2026-2035 iaitu universiti mesti menjadi pusat pemikiran strategik negara dan keusahawanan adalah antara instrumen penting untuk menterjemahkan ilmu kepada nilai dan kemakmuran rakyat,” katanya.
Mengenai Anugerah Keusahawan KPT 2025, Zambry berkata ia adalah manifestasi kejayaan dasar kerajaan dan inisiatif berterusan KPT dalam memperkasakan agenda keusahawanan di IPT, yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan IPT, ahli akademik, pentadbir, mahasiswa serta graduan dalam ekosistem keusahawanan.
Sebanyak 13 kategori dipertandingkan termasuk Anugerah Institusi Keusahawanan Terbaik yang merangkumi beberapa kategori antaranya universiti, politeknik dan kolej komuniti terbaik, masing-masing dimenangi oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin serta Kolej Komuniti Sungai Petani.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial