AM

Pelajar Perubatan Pilih Set Kombo Kasih Jualan Kasih Johor Sebagai Hadiah Hari Ibu

16/05/2026 10:55 AM

Oleh Kamarul Halim Kamal

BATU PAHAT, 16 Mei (Bernama) -- Walaupun sambutan Hari Ibu sudah berlalu, seorang pelajar tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan rasa kasih terhadap ibu tercinta dengan menjadikan Set Kombo Kasih yang dijual menerusi Jualan Kasih Johor (JKJ) sebagai hadiah istimewa.

Muhammad Aqil Rida Mohd Akmar, 19, pelajar bidang perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyifatkan harga RM15 bagi satu set barangan keperluan asas sebagai sangat berbaloi, sekali gus mampu dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar.

Beliau berkata harga set kombo yang mengandungi seekor ayam, sebotol minyak masak dua liter dan sepapan telur (30 biji) itu boleh mencecah hampir RM40 di pasaran.

“Niat asal saya sekadar mahu melihat barangan yang dijual, namun apabila melihat harga set kombo yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran, saya terus terdetik untuk membelinya sebagai hadiah Hari Ibu. Ibu saya memang rajin memasak, jadi saya beli dua set terus.

“Walaupun Hari Ibu sudah beberapa hari berlalu (10 Mei), saya yakin ibu pasti gembira dan akan memasak lauk yang sedap buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui Bernama pada program JKJ bagi DUN Sri Medan di Dewan Kampung Parit Warijo di sini semalam. 

Anak bongsu daripada tujuh beradik yang berasal dari Kampung Parit Warijo itu turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor atas inisiatif yang membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat berkenaan.

Bagi seorang peniaga, Lim Loo Yan, 50, kelangsungan program JKJ adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat agar tidak terbeban dengan kos sara hidup, walaupun bukan pada musim perayaan.

“Dengan harga yang berpatutan ini, kami lihat kerajaan negeri tidak ‘lokek’ untuk berkongsi rezeki dan hasil negeri bersama rakyat,” katanya.

Pesara kerajaan, Nordin Antah, 61, turut senada dan menyifatkan inisiatif itu sebagai platform terbaik untuk menghargai “Bangsa Johor” dengan memastikan rakyat tidak dibebani oleh peningkatan harga barangan keperluan.

“Saya sarankan agar JKJ ini diteruskan, terutamanya ketika musim perayaan bagi menghapuskan aktiviti ‘orang tengah’ yang sering mengambil kesempatan.

“Melalui pengurusan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), bekalan makanan bukan sahaja lebih segar, malah harga kekal stabil dan mampu milik,” katanya.

Kerajaan Negeri Johor berusaha membantu rakyat menangani isu kos sara hidup menerusi inisiatif JKJ dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM72.12 juta bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Sehingga kini, JKJ telah dilaksanakan di lebih 1,700 lokasi di seluruh Johor dan memberi manfaat kepada lebih 6.59 juta penduduk negeri itu. 

Bagi Mei dan Jun ini, lebih 750,000 Set Kombo Kasih akan disediakan untuk rakyat Johor, termasuk kira-kira 420,000 set bagi bulan ini sahaja.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi memperluas pelaksanaan JKJ, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi 2026 meningkat kepada RM45.4 juta. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan