AM

Pakar Bius HPUSM Temui Ketenangan Baharu Dalam Penternakan Selepas Bersara

16/05/2026 11:14 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

BACHOK, 16 Mei (Bernama) -- Jika dahulu kehidupannya dipenuhi tekanan dan debaran ketika menyelamatkan nyawa pesakit di bilik pembedahan, kini bekas pakar bius jantung Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menemukan ketenangan baharu dalam bidang penternakan biri-biri dan kambing.

Dr Saedah Ali, 59, yang memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan pada 1992 dan terlibat merintis perkhidmatan pembedahan jantung di HPUSM pada 2001, mula menceburi bidang penternakan pada Jun 2018, kira-kira empat tahun sebelum bersara secara pilihan pada 2022.

Beliau berkata minat terhadap bidang itu tercetus selepas melihat tanah pusaka arwah bapanya seluas 2.5 ekar terbiar dipenuhi semak samun sebelum mengambil keputusan mengusahakan ladang ternakan sebagai aktiviti sampingan.

“Pada mulanya, saya hanya menyewakan tanah itu kepada penduduk kampung dengan kadar sekitar RM100 setahun, namun lama-kelamaan tercetus idea untuk menternak kerana ia juga satu sunnah.

“Menternak ini ada komunikasi dengan haiwan dan bermain dengan emosi. Walaupun memenatkan sehingga terpaksa berjaga malam apabila ternakan sakit atau beranak, ia sebenarnya menjadi terapi untuk melepaskan tekanan kerja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Saedah berkata stres menjadi pakar bius dan stres menguruskan ternakan sangat berbeza.

Bermula dengan hanya lapan ekor kambing, ladang yang diusahakan beliau kini berkembang dengan populasi kira-kira 250 biri-biri dan 90 kambing. 

Dr Saedah berkata beliau memberi tumpuan kepada baka Dorper, iaitu hasil kacukan biri-biri Dorset dan Persian Blackhead yang terkenal sebagai baka pedaging premium, dengan hampir 90 peratus induknya diimport dari Australia.

Selain biri-biri, beliau turut menternak kambing pedaging jenis Boer dan kacukan Boer. Bagi memastikan kos operasi lebih efisien dan mampan, beliau mengutamakan penggunaan sumber makanan semula jadi dengan mengurangkan kebergantungan terhadap dedak atau pelet.

“Lebih 70 peratus makanan ternakan di ladang ini terdiri daripada rumput Napier dan rumput minyak yang ditanam sendiri selain silaj, iaitu rumput peram,” katanya.

Dr Saedah bagaimanapun mengakui industri penternakan tempatan kini berdepan pelbagai cabaran termasuk lambakan kambing import murah yang menjejaskan penternak tempatan. 

Beliau berkata ada ternakan yang dibawa masuk dipercayai terdiri daripada kambing tua atau kurang berkualiti, namun masih mendapat permintaan kerana dijual pada harga rendah.

“Dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, banyak penternak tempatan terpaksa gulung tikar kerana kos operasi tidak mampu ditampung oleh harga jualan semasa. 

“Selain itu, kami turut berdepan kenaikan harga dedak akibat faktor geopolitik global serta cabaran cuaca seperti kemarau dan banjir,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap kerajaan dan agensi berkaitan dapat campur tangan dengan meletakkan kawalan tertentu terhadap kemasukan bekalan luar bagi melindungi industri penternakan tempatan serta memperkukuh jaminan keselamatan makanan negara.

Selain menjana pendapatan, ladang milik Dr Saedah turut membantu komuniti setempat menerusi kerjasama inisiatif tanggungjawab sosial bersama pihak penjara dengan membuka peluang pekerjaan kepada banduan parol sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata ladang itu juga sering menjadi pusat latihan amali pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, kolej vokasional dan Institut Pertanian Titi Gantung di Perak.

Kejayaan beliau dalam bidang penternakan turut didorong sokongan suaminya yang juga doktor Pakar Telinga, Hidung dan Tekak di HPUSM dan sering membantu merawat ternakan yang sakit selepas waktu bekerja.

Mengakhiri perbualan, Dr Saedah menasihati golongan profesional agar mempunyai aktiviti luar atau hobi bagi mengelakkan tekanan melampau dalam kerjaya.

“Golongan profesional sangat memerlukan aktiviti luar untuk mengelakkan ‘burnout’. Sama ada berkebun, memancing atau menternak, carilah aktiviti yang menyeronokkan supaya apabila bersara nanti kita kekal aktif dan sihat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan