AM

Kerajaan Laksana Langkah Intervensi Kekalkan Kestabilan Sektor Penerbangan - MOT

16/05/2026 03:48 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama-sama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melaksanakan beberapa langkah intervensi berfokus bagi memastikan kestabilan sektor penerbangan negara.

Ini susulan tekanan akibat daripada ketidaktentuan geopolitik global terhadap operasi serta kos industri tersebut, demikian maklum MOT menerusi hantaran di laman Facebook rasmi kementerian itu, hari ini.

Menurut MOT, pendekatan itu melibatkan usaha sokongan kewangan, penstrukturan sementara kos operasi serta insentif bersasar bagi memastikan kesinambungan perjalanan udara domestik, khususnya yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Langkah intervensi berfokus ini bertujuan mengekalkan kestabilan operasi serta melindungi kepentingan pengguna.

"Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan sektor penerbangan kekal berdaya tahan, kompetitif serta terus menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara," demikian menurut hantaran itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook sebelum ini dilaporkan mengumumkan kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pemberian rebat tiket penerbangan yang bakal memanfaatkan 100,000 warga Malaysia untuk laluan penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak, serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Pemberian rebat itu berkuat kuasa Mei hingga Jun 2026.

Turut diumumkan pelanjutan tempoh bayaran fi dan caj navigasi hingga 60 hari, pengecualian caj parkir pesawat serta penangguhan caj Passenger Boarding Bridge (PBB) dan Common Infrastructure Charges (CIC) selama dua bulan bagi memastikan kestabilan aliran tunai industri penerbangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan