JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) komited memastikan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kekal utuh bagi menjamin kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata sebarang perbezaan pandangan yang timbul dalam kalangan parti komponen akan dirujuk terus kepada Majlis Pimpinan supaya dapat diurus dengan tertib tanpa menjejaskan pentadbiran negara.
Fahmi, yang juga Ketua Penerangan PKR, berkata kestabilan politik di peringkat Persekutuan ketika ini amat penting memandangkan negara sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis bekalan global.
“Maka, sudah pasti pada waktu ini kita akan berusaha untuk pastikan hubungan di peringkat Persekutuan itu kekal utuh sebagai Kerajaan Perpaduan... banyak yang masih perlu kita laksanakan.
“… kita tahu pada waktu ini, negara berdepan krisis bekalan global, dan sudah pasti kestabilan politik di peringkat Persekutuan itu sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir Konvensyen PH 2026 yang dijadual berlangsung esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Mengulas mengenai pengurusan konflik dalam Kerajaan Perpaduan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mengambil contoh situasi di Negeri Sembilan yang menurut beliau berjaya ditangani dengan baik tanpa menjejaskan sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
“Alhamdulillah, kalau kita lihat pada apa yang berlaku di Negeri Sembilan, akhirnya UMNO Negeri Sembilan kekal menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun ada beza pandangan dalam beberapa perkara tetapi telah berjaya diuruskan dengan tertib, tersusun dan tidak menjejaskan dari segi pentadbiran,” katanya.
Beliau juga berkata fokus utama Kerajaan Persekutuan ketika ini ialah untuk menterjemahkan angka-angka ekonomi makro kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat menerusi pelbagai program bantuan dan pembangunan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial