AM

Kerajaan Terus Pantau Situasi Kapal GSF, Siap Siaga Jika Dipintas Zionis - PM

16/05/2026 07:11 PM

IPOH, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan terus memantau situasi pasukan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di garisan kuning dua, iaitu kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza, sekiranya dipintas oleh rejim Zionis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan sedaya upaya berhubung secara langsung dengan Kerajaan Jordan dan Arab Saudi untuk mengetahui kedaaan terkini peserta selain bersiap siaga seandainya situasi tidak diingini berlaku.

“Kita pantau selalulah, maknanya dah bagi desakan tapi kita berdepan dengan Israel yang paling biadab dalam dunia.

“Bukan saja (berhubung) dengan peserta dari Malaysia tapi (juga) dengan Sepanyol, Turki dan Brazil... kita bersiap sedia sekiranya ia (pintasan) berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika disoal mengenai kenyataan Sumud Nusantara Command Centre yang mengesahkan keadaan genting 54 kapal GSF yang kini berada di garisan kuning dua, iaitu kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza dan berisiko tinggi dipintas oleh rejim Zionis seperti sebelum ini.

Ditanya jika rombongan itu benar-benar dipintas oleh Zionis, Anwar berkata: “Kita mohon doa, mudah-mudahan tidak berlaku, tapi (jika berlaku) kita siap siaga.”

Misi GSF kali ini melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa dari 45 negara termasuk 29 rakyat Malaysia yang digerakkan oleh pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan