KUANTAN, 17 Mei (Bernama) -- Sebanyak 60 peserta termasuk lapan dari Singapura dan empat dari Jepun berentap dalam International Kempadang Ultralight Jigging Challenge (IKUJC) Vol. 5 anjuran Persatuan Memancing Rekreasi Darul Makmur dengan kerjasama Tourism Pahang, di pantai Kempadang di sini hari ini
Pengurus Besar Tourism Pahang Nor Zahira Muhammad Azmi berkata pertandingan memancing itu mampu menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi, sekali gus platform terbaik dalam mempromosikan pantai Kempadang ke peringkat antarabangsa.
“Kehadiran peserta dari Singapura dan Jepun membuktikan acara berasaskan komuniti seperti ini mampu menarik perhatian pemancing luar negara serta memberi impak positif kepada ekonomi setempat dan industri pelancongan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut memaklumkan IKUJC bermula seawal 8 pagi hingga 4 petang itu menyaksikan peserta berentap dalam kategori ultralight jigging yang semakin popular dalam kalangan penggemar sukan memancing.
“Antara kategori dipertandingkan ialah Pelagic (Terberat), Haruan Tasik, Ikan Terpanjang, Ikan Bersisik, Tekong Terbaik dan King of IKUJC selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada peserta,” menurut kenyataan itu.
Tourism Pahang memaklumkan program itu bukan sahaja mengeratkan komuniti sukan memancing, malah merancakkan pelancongan sukan air di Pahang menerusi kehadiran peserta luar negara dan pengunjung tempatan.
“Penganjuran acara seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh industri pelancongan berasaskan komuniti dan aktiviti rekreasi di Pahang, selaras dengan usaha mempergiat promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial