EKONOMI

Momentum Penyertaan Wanita Dalam Bidang Maritim Kian Ketara -- MISC

19/05/2026 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Penglibatan wanita dalam industri maritim Malaysia terus menyaksikan momentum ketara, malah dibuktikan menerusi kehadiran 909 pelaut wanita yang sedang berkhidmat dalam sektor berkenaan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Bhd Zahid Osman berkata golongan wanita turut mewakili kira-kira 3.2 peratus daripada 28,400 pelaut Malaysia berbanding hanya satu peratus di peringkat pelaut global.

“Walaupun angka itu masih kecil, ini sudah memaparkan kemajuan bermakna dan momentum yang terus ketara,” katanya ketika melancarkan Pameran “Chart Her Course” di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Zahid berkata satu-satunya akademi latihan maritim milik MISC, Akademi Laut Malaysia (ALAM) juga berjaya menghasilkan generasi profesional maritim yang berkhidmat dalam industri maritim di peringkat global.

Beliau berkata ALAM turut membantu membuka peluang untuk lebih ramai wanita menyertai profesion yang sebelum ini sukar diceburi.

“Pada 2006, ALAM mengalu-alukan kumpulan kadet wanita pertama dan 15 tahun kemudian pada 2021, salah seorang daripada perintis itu melakar sejarah sebagai nakhoda wanita pertama Malaysia,” katanya.

Zahid turut berkongsi penyertaan kadet wanita dalam ALAM kini mencecah 11.5 peratus yang terbukti mengatasi purata global bagi wanita dalam bidang berkenaan.

“Namun, perjalanan ini bukan mengenai statistik semata-mata. Ini melibatkan aspek keterlihatan atau ketampakan, diwakili serta memastikan wanita muda melihat industri ini dan berkata ya, ada tempat untuk saya dalam bidang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pameran Chart Her Course yang berlangsung dari 19-25 Mei di Bangunan Sultan Abdul Samad dianjurkan MISC bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa dalam Maritim bagi meningkatkan ketampakan peranan wanita dalam industri itu.

Pameran yang mengetengahkan elemen interaktif, termasuk simulasi pusat kawalan dan laluan bertema, juga bermatlamat mencabar persepsi bahawa kerjaya maritim hanya terhad untuk lelaki selain menonjolkan peluang bagi wanita menerajui dan membina kerjaya dalam sektor berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan