KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malayan Flour Mills Bhd (MFM) menggariskan pelan perbelanjaan modal (Capex) RM100 juta untuk perniagaan pengilangan tepungnya sepanjang dua tahun kewangan, termasuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Dismber, 2026.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata pelaburan tersebut bertujuan untuk memperkukuh kapasiti pengeluaran, kecekapan operasi dan pertumbuhan jangka panjang merentasi operasi pengilangan tepung kumpulan di Malaysia dan Vietnam.
Kira-kira RM80 juta akan digunakan untuk membina barisan pengilangan baharu di Vimaflour Ltd di Vietnam bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menyokong permintaan serantau yang semakin meningkat, memandangkan operasi kumpulan di Vietnam kini beroperasi pada kapasiti hampir penuh.
Baki RM20 juta akan digunakan untuk menaik taraf, mengautomasikan dan melaksanakan inisiatif peningkatan operasi lain merentasi operasi pengilangan tepung kumpulan di Malaysia dan Vietnam.
“Kilang tepung (di Vietnam Utara) beroperasi dengan kapasiti penuh, dan oleh itu kami sedang mengembangkan pengeluaran daripada 2,000 tan sehari kepada 2,500 tan sehari,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-66 MFM, di sini hari ini.
Sementara itu, Teh juga berkata harga niaga hadapan gandum telah meningkat terutamanya disebabkan oleh cuaca buruk di Amerika Syarikat, krisis Asia Barat dan kenaikan harga baja.
Beliau berkata industri makanan mesti bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menghadapi kesukaran ketika ini.
“Sebagai syarikat makanan dan diklasifikasikan sebagai syarikat keselamatan makanan, kami perlu memainkan peranan,” katanya.
Mengenai perniagaan integrasi ternakan ayam, MFM memaklumkan bahawa kumpulan itu baru-baru ini telah mengkomersialkan rangkaian pertama hidangan sedia dimakan yang disahkan halal dan boleh dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro, merangkumi Sate Ayam Bakar Arang, Ayam Masak Merah, Ayam Kicap dan Ayam Kam Heong.
Teh berkata kumpulan itu akan meneroka peluang baharu untuk berkembang ke segmen produk baharu dan menyesuaikan diri dengan pilihan pengguna yang sentiasa berubah.
“Sebagai salah satu pengeluar ayam terkemuka di Malaysia, kami percaya syarikat ini berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan operasi bersepadu dan perkongsian strategik kami dengan Tyson Foods bagi mengukuhkan kehadiran kami dalam segmen makanan nilai tambah,” katanya.
Sementara itu, MFM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ia mempunyai dasar dividen untuk membayar sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami).
Ia telah membayar 3.5 sen sesaham, atau RM43.4 juta, kepada para pemegang saham untuk tahun kewangan 2025.
Menurut MFM, pembayaran itu bersamaan dengan 31 peratus Patami sebanyak RM139.9 juta, diterjemahkan kepada hasil dividen kira-kira 6.2 peratus berdasarkan harga saham penutup RM0.565 pada 15 Mei 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial