Konsep World schooling atau pembelajaran sambil mengembara mungkin masih belum begitu dikenali di negara ini, namun bagi sesetengah ibu bapa berkemampuan, pendekatan itu adalah sesuatu yang menepati keinginan mereka untuk melihat anak-anak belajar berasaskan pengalaman dunia sebenar, bukan dikekang bilik darjah.
Selain memberi pendedahan kepada realiti kehidupan, kaedah ini kata mereka mampu memupuk sifat berdikari dalam kalangan anak-anak, di samping membina kemahiran sosial melalui interaksi langsung dengan masyarakat pelbagai latar belakang.
Pendekatan ini kata mereka turut berpotensi membentuk pemikiran lebih terbuka serta menggalakkan anak-anak melontarkan idea secara kreatif dan kritis.
Walaupun tidak berteraskan sukatan pelajaran berstruktur seperti pendidikan formal, ibu bapa yang mengamalkan world schooling lazimnya menerima guna kurikulum anjal seperti Cambridge ataupun sekolah antarabangsa, yang disesuaikan dengan lokasi dan situasi semasa.
DUNIA JADI KELAS PEMBELAJARAN
Adilah Rosli, 37, antara ibu bapa yang menerima guna pendekatan world schooling bagi mendidik empat anaknya: Qaiser Mateen Harris Arisyi, 9; Alyssa Jasmine Harris Arisyi, 6; Ezra Musa Harris Arisyi, 4 dan Ihlara Rose Harris Arisyi, setahun.
Memuat naik pengalamannya di media sosial termasuk Facebook, TikTok dan Instagram menggunakan nama @dilarosli.co, wanita ini memberitahu Bernama idea melaksanakan world schooling untuk anaknya tercetus kira-kira sedekad lalu ketika dia dan suami, Harris Arisyi Redzuan, 37, menyambung pengajian di United Kingdom selama empat tahun hingga 2014.
Bagaimanapun mereka yang menjalankan perniagaan sendiri hanya dapat merealisasikan hasrat itu bermula 2025.
“Sebelum world schooling, anak yang sulung mengikuti pendidikan prasekolah swasta dan pendidikan formal di sebuah sekolah antarabangsa, sementara anak kedua pula sempat mengikuti pelajaran prasekolah selama lebih setahun hingga Februari 2025,” kongsinya.
Walaupun masih baru mengamalkan world schooling, Adilah berkata anak-anaknya menunjukkan perubahan ketara termasuk tahap berdikari lebih tinggi.
“Setakat ini kami telah ke beberapa destinasi seperti Vietnam, Bali (Indonesia), Bosnia Herzegovina, Istanbul (Turkiye), Rom (Itali) dan Sepanyol.
“Sepanjang berada di Vietnam, Bosnia dan Itali, kami menggabungkan pembelajaran formal menggunakan buku dan lembaran kerja dengan pembelajaran tidak formal melalui lawatan ke muzium, taman serta lokasi bersejarah.
“Manakala di Istanbul, pembelajaran sepenuhnya berasaskan pengalaman lapangan tanpa sesi formal, dengan pengetahuan sejarah, budaya dan geografi diperoleh secara langsung,” katanya yang berada di Orgiva, Sepanyol ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata setiap perjalanan dimanfaatkan sebagai peluang pembelajaran apabila anak-anak melakukan kajian awal mengenai destinasi, termasuk lokasi menarik, tempat makan dan kemudahan asas, sebelum membentangkan dapatan kepada ibu bapa.
PENGALAMAN DUNIA NYATA ASAH KEMAHIRAN
Mengulas lanjut, Adilah berkata walaupun tiada struktur formal, subjek seperti Matematik, Bahasa Malaysia dan Pendidikan Islam tetap diajar secara kontekstual mengikut persekitaran.
Menurutnya, mereka juga mengekalkan komunikasi dengan guru sekolah lama anak sulungnya bagi memastikan perkembangan pembelajaran anak-anak selari dengan sistem arus perdana.
Selain akademik, aspek kemahiran sosial turut diberi penekanan melalui pendedahan kepada kepelbagaian budaya dan bahasa yang secara tidak langsung membina keyakinan diri serta keupayaan komunikasi.
“Sebagai contoh, kemahiran matematik diasah melalui situasi harian seperti mengira kadar pertukaran mata wang, manakala komunikasi diperkukuh apabila anak-anak berinteraksi sendiri dengan masyarakat setempat,” katanya.
Menurut Adilah, walaupun menggunakan pendekatan alternatif, beliau tidak menolak kemungkinan mendaftarkan anak-anak menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) pada masa depan.
BENTUK PEMIKIRAN KRITIS DAN KREATIF
Sementara itu, pensyarah di Pusat Kajian Teknologi dan Pengurusan Perisian, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Nurhizam Safie Mohd Satar berkata world schooling berpotensi melahirkan kanak-kanak yang lebih kreatif dan kritis.
Menurut beliau, pendedahan kepada persekitaran baharu membantu kanak-kanak membina kemahiran menyelesaikan masalah, merancang serta berkomunikasi merentas budaya.
“Namun, keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan yang seimbang kerana pembelajaran formal masih penting, khususnya bagi penguasaan literasi dan numerasi secara sistematik,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan memastikan kanak-kanak mendapat interaksi sosial yang mencukupi bagi mengelakkan kekurangan hubungan rakan sebaya dalam jangka panjang.
SEBAHAGIAN EKOSISTEM PENDIDIKAN ALTERNATIF
Dalam pada itu, pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA Prof Madya Dr Fatin Aliana Mohd Radzi berpandangan world schooling wajar dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan alternatif negara.
Menurut beliau, pendekatan itu berpotensi berkembang sekiranya disokong dengan dasar, garis panduan kurikulum minimum serta sistem pentaksiran yang lebih fleksibel.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pendekatan tersebut yang memerlukan sumber besar termasuk kewangan, masa dan literasi ibu bapa, berisiko mewujudkan jurang pendidikan jika tidak ditangani dengan baik.
“Jika diurus secara menyeluruh, pendekatan ini boleh menjadi inspirasi kepada sistem pendidikan negara untuk memperluas elemen pembelajaran berasaskan pengalaman kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial