AM

Dakwaan Terlibat Tukar Status Kediaman Taman Segar Tidak Berasas, Fitnah - Hannah

20/05/2026 05:32 PM

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Dakwaan mengenai pengumuman pertukaran status kediaman di Taman Segar, Cheras daripada pajakan kepada pegangan bebas disifatkan tidak berasas dan fitnah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Beliau berkata dakwaan itu timbul susulan sidang media di Taman Segar baru-baru ini, berkaitan pewartaan padang untuk kegunaan orang awam, namun menegaskan perkara berkenaan tidak pernah diumumkan.

"Saya langsung tidak terlibat dalam jawatankuasa tanah untuk menukar pegangan pajakan kepada pegangan bebas. Jadi, ini ternyata satu fitnah.

“Laporan polis telah dibuat, dua laporan polis. Malam tadi kita buat satu, pagi tadi kita buat satu lagi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman yang mempersoalkan bagaimana Hannah didakwa berjaya menukar status rumah di Taman Segar, Cheras daripada pegangan pajakan kepada pegangan bebas dalam tempoh singkat.

Hannah berkata semua pihak yang hadir ketika sidang media di Taman Segar menjadi saksi bahawa isu pertukaran status tanah tidak pernah dibangkitkan dan hal itu juga jelas boleh dilihat menerusi rakaman siaran langsung Facebook, kenyataan media dan laporan berita berkaitan sidang media tersebut.

"Saya minta polis menyiasat dan saya juga akan mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap fitnah ini," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan