KUALA TERENGGANU, 24 Mei (Bernama) -- Seorang wanita yang sedang sarat mengandung tujuh bulan tidak menyangka panggilan video bersama suaminya malam tadi menjadi kenangan terakhir mereka, sebelum lelaki itu dilaporkan maut dalam kemalangan yang dipercayai berpunca daripada tali bot yang terputus ketika menjalani latihan kecemasan di perairan Terengganu-Pahang hari ini.
Isteri kepada seorang mangsa Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 4 petang, selepas menerima panggilan daripada majikan suaminya yang memberitahu lelaki berkenaan terlibat dalam satu kemalangan di lokasi kejadian.
“Ketika itu pihak syarikat tidak dapat memberikan maklumat lanjut berhubung keadaan suami saya. Pihak terbabit cuma beritahu suami saya terlibat dalam kejadian dan tak cakap sama ada meninggal dunia atau macam mana, sebab pihak itu sendiri belum dapat maklumat penuh,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.
Nurkhaeryna Dhania Azreen yang menetap di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang berkata sebaik menerima berita itu, dia bersama ibunya terus bertolak dari rumah mereka ke Kuala Terengganu dan tiba di HSNZ kira-kira 7 malam tadi.
Beliau berkata kali terakhir dia bertemu suaminya Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, pada Ahad lepas sebelum mangsa kembali bertugas di platform offshore selama dua minggu.
Beliau berkata suaminya dijadual pulang pada 1 Jun depan, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik atau meninggalkan pesanan terakhir.
“Kali terakhir saya bercakap dengan suami kira-kira 10 malam semalam sebelum dia masuk tidur selepas keletihan bekerja. Dia kata penat dan nak tidur awal. Pagi tadi sekitar 7.30 pagi dia ada WhatsApp saya, ucap good morning dan cakap dia tak sabar nak balik.
“Selalunya walaupun lambat dia akan balas mesej sebab line dekat sana susah, tapi kali ni dia terus senyap,” katanya sambil menambah suaminya itu baru menyertai syarikat tersebut pada Mac lepas, serta berpengalaman bekerja dalam bidang offshore sejak 2019.
Dalam pada itu, Nur Kairina berkata suaminya sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mengumpul cuti bagi menemaninya berpantang, selepas kelahiran anak kedua mereka nanti.
“Saya sangat sedih kerana suami nyatakan hasrat untuk teman saya berpantang selepas kelahiran anak kedua kami ini. Hanya Allah SWT tahu betapa luluh hati dan perasaan ini,” katanya dengan nada sebak.
Dilaporkan tiga pekerja sebuah syarikat perkapalan maut, manakala seorang lagi parah dalam satu kemalangan melibatkan tali bot yang terputus ketika menjalani latihan kecemasan di perairan sempadan Terengganu-Pahang, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai terlibat dalam latihan kecemasan, sebelum tali bot yang digunakan tiba-tiba terputus sehingga mengakibatkan kemalangan berkenaan.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika semua mangsa dipercayai berada dalam sebuah bot keselamatan tertutup, sebelum tali yang menyokong bot tiba-tiba putus.
Bernama ketika ini cuba mendapatkan pengesahan dari syarikat pelantar minyak tersebut selain pengesahan pihak berkuasa.
Ketika ini juga semua ahli keluarga mangsa sudah tiba di pekarangan jabatan forensik HSNZ.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial