JENAYAH & MAHKAMAH

ATM Junjung Titah Tengku Mahkota Pahang, Komited Perkukuh Penyelarasan Latihan Ketenteraan

24/05/2026 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih serta akur dengan titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan di negeri itu.

​Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan sebagai institusi pertahanan negara, ATM sentiasa komited memastikan setiap latihan dan operasi dilaksanakan secara terancang, profesional serta bertanggungjawab.

​Menurut kenyataan itu, ATM mematuhi sepenuhnya garis panduan, prosedur operasi serta penilaian impak alam sekitar yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“ATM turut mengiktiraf kepentingan kerjasama strategik bersama pihak kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pakar berkaitan serta komuniti setempat, dalam setiap pelaksanaan latihan.

“Sehubungan itu, ATM akan terus memperkukuh mekanisme penyelarasan dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan pelaksanaan latihan ketenteraan dijalankan secara lebih tersusun, selamat, teratur serta berhemah dengan mengambil kira sensitiviti setempat,” menurut kenyataan itu hari ini.

ATM dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa langkah mitigasi, pemantauan dan penilaian secara berterusan juga sentiasa dilaksanakan oleh pihak ATM, bagi meminimumkan sebarang kesan negatif terhadap ekosistem semula jadi di kawasan terlibat.

Terdahulu, media melaporkan Tengku Hassanal menzahirkan kebimbangan terhadap latihan ketenteraan di kawasan kepulauan di Pahang yang berisiko menggugat ekosistem alam sekitar.

Baginda turut menitahkan agar ATM mendapatkan perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan