AM

53 Finalis Unduk Ngadau Wakili Daerah, Cawangan KDCA Ke Peringkat Negeri

26/05/2026 09:05 PM

KOTA KINABALU, 26 Mei (Bernama) -- Sebanyak 53 peserta akhir Unduk Ngadau terpilih bagi mewakili daerah dan cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), termasuk dari Semenanjung pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Dr Mary Gambidau berkata kesemua peserta akan ditempatkan di sebuah hotel di sini bermula hari ini sehingga malam kemuncak pertandingan itu pada Ahad ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 25 finalis teratas akan mara ke pusingan seterusnya, berbanding hanya 15 peserta pada tahun-tahun sebelumnya.

“Penambahbaikan ini diperkenalkan bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada para peserta untuk menyerlahkan potensi, personaliti serta kemampuan masing-masing,” katanya pada sidang media sempena pertandingan itu di sini hari ini.

Unduk Ngadau adalah pertandingan ratu cantik berprestij sempena Pesta Kaamatan yang bukan sekadar mempertandingkan kecantikan fizikal tetapi mengiktiraf kebijaksanaan, keperibadian dan pengetahuan peserta tentang budaya serta legenda Huminodun.

Selain itu, beliau berkata penganjur turut memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat, dengan penilaian awal akan dijalankan melalui pelbagai sesi dalaman bermula hari ini.

Ia kemudiannya akan diteruskan dengan penilaian akhir pada malam kemuncak perayaan pada 31 Mei ini bertempat di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.

Mary berkata sepanjang tempoh itu, peserta akan menjalani pelbagai sesi rasmi termasuk temu bual pengetahuan budaya dan adat, serta menyertai Pertandingan Filem Pendek bertemakan “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.

Bagi memastikan keadilan dan ketelusan, penganjur telah menyediakan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan rasmi, selain menyediakan khidmat penterjemah mahir bagi bahasa-bahasa etnik seperti Murut untuk memudahkan barisan juri.

“Menerusi rubrik ini, penghakiman akan menjadi lebih adil, profesional dan telus dengan fokus diberikan sepenuhnya kepada kriteria penilaian yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para peserta agar sentiasa memakai busana seperti yang telah didaftarkan dan mereka sama sekali tidak dibenarkan menukarnya pada hari pertandingan.

Pemenang Unduk Ngadau Kaamatan tahun ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, tajaan biasiswa pendidikan, pakej saringan kesihatan, produk kecantikan serta pelbagai hadiah iringan daripada penaja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan