AM

Pendaki Hilang: Pasukan SAR Sedang Kumpul Anggota Tambahan

31/05/2026 09:26 PM

IPOH, 31 Mei (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih dekat Tapah Jaslinda Saludin sedang mengumpul keanggotaan tambahan sebagai perancangan sekiranya memerlukan tindakan bersepadu serta menyeluruh di sektor pencarian ditetapkan. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata sehingga 10 pagi tadi, sebanyak 21 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada 13 bomba, petugas Jabatan Perhutanan (tiga) dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) (lima) berada dalam sektor pencarian di gunung itu.

“Komunikasi dengan pasukan penyelamat masih terputus dipercayai disebabkan berada di kawasan lembah dan terhalang liputan komunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Sayani berkata pada 1.13 pagi, sebanyak 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah keluar dari kawasan operasi melalui Pos Musoh manakala lima lagi terdiri daripada seorang anggota bomba dan empat petugas Jabatan Perhutanan keluar melalui Pos Kuala Woh pada 2.12 pagi.

Sayani berkata enam anggota JBPM telah tiba di puncak Gunung Rayu dan berada dalam keadaan baik, mempunyai bekalan makanan serta minuman yang mencukupi dan mendapat rehat secukupnya.

“Bagaimanapun, pasukan di lapangan mengalami kekangan komunikasi kerana kawasan operasi tidak mempunyai liputan telekomunikasi menyebabkan mereka tidak dapat menghantar laporan secara terus kepada pegawai bertugas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata maklumat daripada pasukan SAR pada 12.30 tengah hari tadi memaklumkan rakaman kamera pengawasan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan Bukit Berapit 2 telah diperiksa, namun tidak menemukan sebarang imej mangsa di laluan itu.

Pasukan SAR  dan anggota Perhilitan telah bergerak ke lokasi kamera pengawasan di Gunung Rayu bagi mengambil satu lagi kad memori untuk dianalisis.

“Lokasi kamera pengawasan di Gunung Rayu terletak kira-kira satu kilometer di luar laluan trek Sukaneka-Gunung Rayu-Bukit Berapit-Pos Musoh, namun pemeriksaan tetap dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa tersasar dari laluan utama dan melalui laluan kamera itu.

“Untuk makluman, kawasan itu berada dalam Hulu Jelai, Lipis, Pahang berdasarkan kedudukan koordinat kamera,” katanya dan menambah operasi SAR masih diteruskan di sekitar Gunung Rayu dengan penglibatan anggota bomba dan MGP.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama-sama 13 individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, dikatakan mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi 24 Mei.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan