KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) – Keputusan Malaysia berkaitan pelaksanaan program tenaga nuklear akan bergantung kepada tahap kesediaan negara dalam 19 bidang keutamaan dengan sebahagian besarnya menumpukan aspek keselamatan, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).
Ketua Pegawai Eksekutif ST Siti Safinah Salleh berkata bidang terbabit termasuk keselamatan nuklear, perlindungan radiasi, pengurusan sisa radioaktif dan tapak dan kemudahan sokongan.
Beliau berkata Malaysia perlu terlebih dahulu bertindak memastikan kesediaan dalam perkara terbabit sebelum memuktamadkan untuk meneruskan pembangunan tenaga nuklear yang menjadi salah satu komponen dalam peralihan kepada tenaga bersih.
“Kita berdepan 19 sekatan yang perlu kita buat persediaan. Hanya selepas bersedia, kita perlu ambil kira langkah seterusnya dalam topik ini -- adakah kita mahu melaksanakannya?” katanya pada sesi panel perbincangan di hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini, hari ini.
Siti Safinah merujuk kepada ‘Milestone Approach’ (Pendekatan Berfasa) oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menggariskan 19 isu infrastruktur perlu dinilai oleh sesebuah negara sebelum memutuskan untuk melaksanakan program tenaga nuklear.
Isu itu termasuk pendirian nasional atau negara, keselamatan nuklear, rangka kerja perundangan, langkah perlindungan dan jaminan, rangka kerja kawal selia, perlindungan sinaran, grid elektrik, pembangunan sumber manusia, penglibatan pihak berkepentingan selain tapak dan kemudahan sokongan.
Elemen lain adalah perlindingan alam sekitar, perancangan kecemasan, keselamatan dan perlindungan fizikal, pemerolehan, pengurusan sisa radioaktif, penglibatan industri, pendanaan dan pembiayaan serta kitaran bahan api nuklear.
Laporan media sebelum ini menyatakan Malaysia sedang mempertimbang penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang untuk memenuhi permintaan elektrik yang kian meningkat selain mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Menjelaskan selanjutnya, Siti Safinah berkata banyak negara telah mengiktiraf tenaga nuklear sebagai komponen penting dalam peralihan tenaga, khususnya dalam mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor penjanaan elektrik.
“Jika kita mahu mencapai peralihan tenaga bersih ini...jika kita mahu mengurangkan pelepasan karbon dalam sistem tenaga, (maka) kita perlukan nuklear dan negara-negara yang berkemampuan serta bersedia sudah giat melakukan pembangunan nuklear di peringkat masing-masing,” katanya.
Beliau turut merujuk China yang bertindak mengembangkan program nuklearnya secara besar-besaran manakala Eropah meneliti semula tenaga nuklear dan Jepun pula mempertimbang untuk menghidupkan semula beberapa reaktornya yang ditutup susulan insiden Fukushima Daiichi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DayOne Data Centres Jamie Khoo berkata pengendali pusat data terbuka kepada semua bentuk tenaga, termasuk tenaga nuklear berikutan pertumbuhan tenaga bagi pengkomputeran.
“Kita mengalu-alukan semua bentuk tenaga bersih sama ada solar, angin atau nuklear memandangkan ini adalah komponen penting dalam infrastruktur tenaga,” katanya.
Khoo berkata pihaknya juga terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan dan menyarankan kalangan penggiat industri untuk memanfaatkan peluang meneroka pembangunan tenaga nuklear.
“Jika terdapat peluang, inisiatif dan keperluan bagi kajian komersial, DayOne komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mewujudkan teknologi baharu dalam tenaga nuklear,” katanya.
Beliau berkata ini memandangkan tenaga nuklear sudah menjadi sebahagian daripada campuran tenaga di beberapa pasaran yang menjadi lokasi operasi syarikat itu, termasuk di Eropah.
“Oleh itu, ini bukan perkara baharu untuk syarikat ini, namun menjadi sesuatu yang kami mahu teroka lebih lanjut dan bagaimana dapat dilaksanakan di rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial