AM

Rakan Strategik HAWANA Iktiraf Peranan Media Dalam Pembangunan Negara - KPE Bernama

04/06/2026 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Sokongan rakan strategik menerusi penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan serta sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata rakan strategik terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta itu sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan sokongan bagi memastikan kejayaan sambutan berkenaan.

“HAWANA 2026 sekali lagi menerima sokongan dan kerjasama yang amat memberangsangkan dalam bentuk sumbangan perkhidmatan, barangan dan kewangan daripada semua rakan strategik. 

“Bagi pihak Bernama dan seluruh warga media, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan ini,” katanya pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 di sini hari ini.

Majlis itu diadakan bagi menghargai 113 rakan strategik HAWANA 2026 yang memberikan sokongan dan kerjasama kepada Bernama untuk menjayakan sambutan yang cukup bermakna buat pengamal media di negara ini. 

Nur-ul Afida berharap jalinan kerjasama itu akan berterusan bagi penganjuran HAWANA seterusnya pada tahun akan datang.

Beliau berkata bertemakan ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’, sambutan HAWANA pada tahun ini berlangsung dalam suasana dunia dan Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik, perubahan ekonomi global serta perkembangan pesat teknologi digital.

“Semasa masyarakat dibanjiri pelbagai sumber maklumat termasuk kandungan dijana oleh kecerdasan buatan (AI), media arus perdana khususnya mempunyai tanggungjawab besar untuk mengekalkan kepercayaan awam melalui laporan yang beretika, berimbang dan berasaskan fakta.

“Media yang beretika, berintegriti dan berkrediliti amat diperlukan bagi memastikan masyarakat menerima maklumat tepat, sahih dan seimbang, sekali gus membantu membentuk pemahaman lebih baik terhadap isu semasa dengan lebih jelas dan objektif,” katanya.

Kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan diadakan pada 20 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara sekali gus menjadi platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan