SUKAN

Sze Fei-Nur Izzuddin Tamatkan Kemarau 18 Tahun Terbuka Indonesia

07/06/2026 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) --  Pemain beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia menjuarai acara beregu lelaki di Terbuka Indonesia selepas menumpaskan wakil tuan rumah Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, hari ini.

Pada aksi final  yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pasangan ranking kelapan dunia itu bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menewaskan wakil Indonesia itu 13-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 49 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia kembali menawan gelaran beregu lelaki kejohanan berprestij bertaraf Super 1000 itu buat kali pertama sejak Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari melakukannya pada edisi 2008.

"Kami bersyukur kerana sekali lagi berjaya meraih kemenangan di Istora Senayan hari ini selepas Indonesia Masters, Januari lepas. Terima kasih kepada pasangan saya serta para penaja atas segala sokongan yang diberikan," kata Sze Fei menerusi rakaman audio yang dikongsi oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Selaku juara dan merangkul gelaran terbesar mereka musim ini,  Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD107,300 (RM432,365) manakala lawan tuan rumah itu menerima USD50,750 (RM204,533).

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN AKHIR TERBUKA INDONESIA:

(Nota: tanda [ ] merujuk pemain pilihan kejohanan)

 

Perseorangan Lelaki:

 Victor Lai (CAN) mn [5] Jonatan Christie (INA) 21-19, 21-8

 

Perseorangan Wanita:

[1] Ang Se Yong (KOR) mn Akane Yamaguchi (JPN) 23-21, 21-12

 

Beregu Lelaki:

[7] Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (MAS) mn Raymond Indra-Nikolaus Joaquin (INA) 13-21, 21-18, 21-10

 

Beregu Wanita: 

[5] Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto (JPN)  mn [1] Liu Sheng Shu-Tan Ning (CHN) 21-15, 18-21, 21-18

 

Beregu Campuran:

[5] Mathias Christiansen-Alexandra Boje (DEN)  mn Cheng Xing-Zhang Chi (CHN) 21-19, 23-21  

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan